Lelaki terjun ke Sungai Perak cuba selamatkan bot hanyut ditemukan lemas

PARIT – Jasad lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Perak untuk mendapatkan semula botnya yang hanyut dari sangkar ikan di Batu 18, Kampung Kuchai, dekat Bota Kiri, semalam ditemukan pada Jumaat.

Mangsa yang berusia 38 tahun itu ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM pada jam 2 petang.

“Operasi diteruskan pagi ini dengan mengaplikasikan konsep LAST sebelum pencarian awal dijalankan menggunakan teknik pencarian di permukaan air dengan bantuan Unit K9 JBPM dan sebuah bot dalam radius enam kilometer sepanjang sungai.

“Pencarian kemudian diperluaskan menggunakan teknik sama di kiri dan kanan tebing sungai, kaedah mengikut arus sungai serta operasi selaman di beberapa lokasi hotspot yang dikenal pasti.

“Mayat mangsa kemudiannya diangkat ke dalam bot sebelum dibawa ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dan BBP Kampung Gajah itu tamat sepenuhnya jam 2.55 petang.

Terdahulu media melaporkan, bomba telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang semalam.

Sabarodzi dilaporkan berkata, jentera tiba di lokasi pada jam 5.25 petang, dan pasukan dimaklumkan lelaki berusia 38 tahun itu terjun ke sungai bagi mendapatkan semula botnya yang hanyut dari sangkar ikan miliknya di tepi Sungai Perak.

Menurutnya, anak saudara mangsa cuba menghulurkan bantuan, namun tidak berjaya menyelamatkannya. – MG Perak

Artikel berkaitan:

Kanak-kanak dua tahun terjatuh jambatan ditemui lemas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI