TAIPING – Penganjuran Malaysia Ultra-Trail by UTMB yang kini memasuki edisi ketiga bukan sekadar medan mencabar ketahanan pelari, malah mengangkat Bandar Warisan ke arena antarabangsa menerusi penyertaan lebih 3,000 peserta.
Pengarah Perlumbaan Malaysia Ultra-Trail by UTMB, Ewegene Tan berkata, acara larian trail berprestij itu turut memberi peluang kepada pelari tempatan mendapatkan kelayakan ke ‘UTMB World Series Final’ tanpa perlu ke luar negara bagi menyertai perlumbaan kelayakan.
Menurut beliau, Malaysia Ultra-Trail by UTMB merupakan satu-satunya perlumbaan di Malaysia yang menjadi laluan kelayakan ke peringkat akhir UTMB World Series.
“Bagi pelari Malaysia, anda tidak perlu lagi melakukan perjalanan ke luar negara untuk mendapatkan kelayakan ke World Series kerana peluang itu ada di Malaysia.

“Bagi peserta antarabangsa pula, mereka boleh datang ke Taiping, mengenali bandar bersejarah ini dan pada masa sama menikmati pelbagai makanan istimewa yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui media pada program berkenaan di Dataran Warisan, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut Ewegene berkata, lebih 2,900 pelari dari 56 negara telah mengambil bahagian dalam edisi kali ini, berbanding 2,864 peserta yang diterima sebelum ini.
Katanya, jumlah penyertaan itu membuktikan Malaysia Ultra-Trail by UTMB semakin mendapat perhatian pelari dalam dan luar negara, sekali gus membuka ruang untuk Taiping dikenali sebagai antara destinasi perlumbaan ultra-trail bertaraf antarabangsa.
Sementara itu, pelari negara, Mohd Faris Azhari, 29, yang bakal berentap dalam kategori MY50 sejauh 50 kilometer (km) berkata, dia menyasarkan untuk memperbaiki catatan 5 jam 21 minit yang dilakukannya sebelum ini bagi jarak dan elevasi yang sama.
Meskipun berhadapan dengan cabaran dari segi persiapan berikutan tempoh pemulihan yang singkat selepas menyertai perlumbaan di Chamonix, Perancis baru-baru ini, Mohd Faris meletakkan harapan untuk menamatkan larian dalam kelompok 10 terbaik.

“Persediaan saya kali ini tidak begitu mencukupi dari segi recovery, tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik berdasarkan kemampuan yang ada.
“Saya berada selama 14 hari di Chamonix dan memperoleh banyak pengalaman di sana. Saya cuba menerapkan apa yang dipelajari untuk perlumbaan esok,” katanya.
Faris yang bakal membuat penampilan ketiga di Taiping berkata, pengalaman menyertai perlumbaan di kawasan berkenaan membolehkannya menjangka perubahan cuaca yang berlaku, termasuk keadaan panas dan hujan.
Berpusat di Dataran Warisan Taiping, Malaysia Ultra-Trail by UTMB merupakan satu-satunya acara UTMB World Series di Malaysia dan sebahagian daripada kalendar 2026 UTMB World Series yang merangkumi 64 acara di 23 negara di Asia, Oceania, Afrika, Eropah dan benua Amerika.
Malaysia Ultra-Trail by UTMB menawarkan lima kategori iaitu MY100, MY50, MY25, MY13 dan MYKIDS bagi memenuhi penyertaan pelari daripada pelbagai peringkat umur dan kemampuan. -MG Perak


