Pengampunan Najib: Keadilan jangan ada dua wajah – Azuwan

KUALA LUMPUR – Isu pengampunan diraja Datuk Seri Najib Razak kembali menjadi perhatian dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, ketika UMNO Sabah mengingatkan supaya prinsip keadilan tidak dilihat mempunyai “dua wajah”.

Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan @ Norjan, ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu tidak pernah takut kepada siasatan atau undang-undang.

Sebaliknya beliau berkata, perkara yang perlu dielakkan ialah persepsi bahawa undang-undang dan keadilan dilaksanakan secara terpilih terhadap pihak tertentu.

“Saya percaya kita tidak pernah takut kepada siasatan, tidak takut kepada undang-undang tetapi yang kita takut adalah apabila keadilan dilihat mempunyai dua wajah,” katanya ketika berucap ucapan dasar Presiden UMNO pada PAU2026, di sini, hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Dalam ucapan sama, Azuwan mengingatkan perbezaan politik tidak seharusnya berkembang menjadi tindakan yang boleh dilihat sebagai dendam politik.

“Jangan kerana kepentingan sendiri tergugat maka pihak lain menerima impaknya.

“Kita boleh menerima perbezaan tetapi jangan sampai kuasa yang ada lebih disalah guna terutama dalam dendam politik,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa hanya perkara tertentu diberikan perhatian sedangkan terdapat isu lain yang menurutnya turut perlu diselesaikan.

“Jika benar mahu membersihkan, bersihkan semua,” katanya.

Azuwan berkata, UMNO tidak gentar jika mana-mana pemimpinnya disiasat atau berdepan proses undang-undang, tetapi prinsip yang sama perlu diterapkan kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang politik.

“Cukup-cukuplah sikap menekan-nekan ini. Ingat rakyat sedang memerhati,” katanya.

Dalam pada itu, Azuwan mengiktiraf peranan Najib ketika menjadi Perdana Menteri dalam isu hak Sabah.

Beliau berkata, Najib mula membuka rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 2016 dan mengakui rakyat Sabah dan Sarawak mempunyai hak untuk membincangkan perkara berkaitan perjanjian itu tanpa rasa takut.

“Kalau kita terambil, kalau terambil dahulu, kita kena pulangkan balik,” katanya memetik kenyataan Najib,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI