IPOH – Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) terus menzahirkan solidariti terhadap rakyat Palestin menerusi sokongan terhadap usaha kemanusiaan bagi membantu penduduk Gaza yang berdepan penderitaan dan krisis kemanusiaan berpanjangan.
PolyCC dalam satu kenyataan memaklumkan, komitmen itu dizahirkan menerusi penyertaan dalam Program Hi Tea Kemanusiaan ‘Bersama Membina Gaza’ anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Perak di Prestige Hall, di sini, pada Ahad.
Katanya, program itu menghimpunkan individu, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO) yang mempunyai komitmen terhadap usaha kemanusiaan dan gerakan bantuan kepada rakyat Gaza.
Pengurus Besar MyCARE Palestin, Dr Ziad M.M. Shehada menerusi perkongsiannya menyampaikan mesej mengenai harapan rakyat Palestin untuk terus bertahan dan meneruskan kehidupan dalam keadaan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.
Beliau turut menjelaskan realiti yang berlaku di Gaza serta cabaran dihadapi penduduk yang terus terkesan akibat konflik dan kemusnahan yang berlarutan.
Sementara itu, Pengerusi MyCARE Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha dalam ucapan beliau berkongsi pengalaman serta usaha berterusan pertubuhan itu dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.
“Usaha berkenaan dilaksanakan menerusi sokongan dan solidariti berterusan rakyat Malaysia yang membantu memastikan bantuan dapat disampaikan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr Salmi Che Meh hadir mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, selain turut disertai pengarah serta wakil pengarah institusi PolyCC Negeri Perak dan barisan pengurusan PUO.
Sokongan PolyCC turut mencerminkan komitmen warga institusi pendidikan berkenaan untuk terus bersama-sama menyokong usaha kemanusiaan serta membantu meningkatkan kesedaran mengenai penderitaan rakyat Gaza.
Dalam pada itu, MUAFAKAT POLYCC masih membuka ruang kepada seluruh warga PolyCC untuk menyumbang kepada usaha bantuan kemanusiaan berkenaan menerusi institusi masing-masing.
Sokongan berterusan warga PolyCC diharap dapat menyumbang kepada kelangsungan usaha bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang berdepan kesengsaraan dan kehilangan akibat krisis yang berpanjangan.
Solidariti rakyat Malaysia juga dilihat penting bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan di Gaza. -MG Perak


