IPOH – Sebanyak 18 motosikal disita manakala empat individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan di Jalan Pasir Puteh, Station 18, di sini awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, operasi bermula kira-kira jam 2.30 pagi itu dijalankan secara bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak.
Menurutnya, operasi berkenaan membabitkan kekuatan 66 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Ipoh, Sukarelawan Polis, pegawai JAS Negeri Perak serta pasukan Sahabat.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 214 motosikal dan 271 individu berusia antara 13 hingga 35 tahun telah diperiksa, dengan sebahagian besar mereka terdiri daripada golongan remaja.
“Hasil pemeriksaan mendapati 18 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala empat individu ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42(1) akta sama,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Menurut beliau, dalam operasi itu, sebanyak 416 keping saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, selain empat saman dikeluarkan JAS Negeri Perak mengikut Seksyen 48A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Polis Daerah Ipoh akan terus menjalankan operasi bersepadu dari semasa ke semasa bagi memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di daerah ini,” katanya.
Muhammad Najib berkata, tindakan berkenaan turut menjadi antara usaha pihaknya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya selain membantu mencegah kejadian jenayah jalanan di sekitar bandar raya Ipoh.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Remaja 16 tahun positif dadah antara ditahan Ops Samseng Jalanan


