Tambang bas ekspres makin mahal, rakyat juga terpaksa menanggung

DAHULU, kita sering mendengar rungutan mengenai mahalnya harga tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak. Isu tersebut bukan perkara baharu, malah sering menjadi perhatian apabila rakyat bercakap tentang kos perjalanan dan akses pengangkutan awam yang berpatutan.

Namun, hari ini situasinya seakan-akan mula dirasai pula oleh rakyat di Semenanjung.

Bukan melalui penerbangan, tetapi melalui pengangkutan darat (bas ekspres) yang selama ini menjadi pilihan utama rakyat biasa.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sendiri memerhatikan trend kenaikan harga tiket bas ekspres yang semakin ketara. Pada awalnya, mungkin kita menganggap kenaikan beberapa ringgit sebagai sesuatu yang masih boleh diterima.

Tetapi apabila kenaikan itu berlaku berulang kali sehingga mencecah sekitar RM15 hingga RM20 bagi satu perjalanan sehala, persoalannya mula timbul – sampai bila pengguna perlu menanggung peningkatan kos ini?

Sebagai pengguna pengangkutan awam, saya sendiri menggunakan perkhidmatan bas dari Lembah Klang ke Pantai Timur. Dahulu, harga tiket (dewasa) sekitar RM47, kemudian meningkat kepada RM50 namun selepas berlaku penyelarasan harga bahan api, khususnya diesel, harga tiket turut menunjukkan peningkatan yang ketara.

Mungkin bagi sesetengah orang, kenaikan RM10 atau RM20 tidak begitu terasa. Tetapi bagi sebuah keluarga yang mempunyai empat atau lima orang ahli, angka tersebut bukan lagi kecil.

Bayangkan jika seorang penumpang perlu membayar tambahan RM15 bagi perjalanan sehala. Untuk empat orang, tambahan itu sudah menjadi RM60. Jika perjalanan pergi dan balik, jumlahnya boleh mencecah RM120 hanya disebabkan perbezaan harga tambang.

Itu belum dicampur dengan kos makan, pengangkutan dari terminal ke destinasi atau perbelanjaan lain sepanjang perjalanan.

Alasan di pihak pengusaha bas pula, mereka berdepan dengan peningkatan kos operasi. Apabila kos bahan api meningkat, pengusaha sememangnya memerlukan ruang untuk memastikan perkhidmatan mereka terus beroperasi.

Tetapi persoalan besarnya ialah — sejauh mana kenaikan kos tersebut wajar dipindahkan kepada pengguna?

Adakah setiap kali berlaku kenaikan harga bahan api, pengguna pengangkutan awam perlu menjadi pihak yang menanggung kesannya?

Rungutan mengenai kenaikan tambang ini datangnya daripada pengguna biasa, khususnya mereka yang bergantung kepada bas ekspres untuk pulang ke kampung, bekerja, belajar atau menguruskan urusan keluarga. Bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, bas bukan sekadar pilihan, ia adalah keperluan.

Tidak semua orang mempunyai kereta sendiri. Tidak semua keluarga mampu membayar tambang penerbangan dan tidak semua destinasi mempunyai alternatif pengangkutan awam yang murah serta mudah.

Sebab itu, isu tambang bas ekspres tidak sepatutnya dilihat semata-mata sebagai soal harga tiket. Ia berkait rapat dengan kos sara hidup, akses mobiliti rakyat dan kemampuan sebuah keluarga untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Persoalannya sekarang, sejauh mana pihak pemerintah, khususnya kementerian dan agensi berkaitan, menyedari tekanan yang sedang dirasai pengguna?

Setiap kali berlaku perubahan harga bahan api, rakyat sering diberi penjelasan bahawa kerajaan mengambil kira kesan terhadap kos sara hidup dan berusaha memastikan rakyat tidak terbeban.

Tetapi realiti yang dirasai pengguna kadangkala berbeza.

Apabila harga tiket bas meningkat, kesannya mungkin tidak kelihatan dalam statistik besar negara. Namun bagi sebuah keluarga yang perlu mengeluarkan ratusan ringgit untuk perjalanan pulang ke kampung, kenaikan tersebut sangat terasa.

Kita tidak meminta tambang percuma.

Kita juga memahami bahawa pengusaha bas mempunyai kos yang perlu ditanggung. Apa yang rakyat harapkan hanyalah harga tambang yang munasabah, telus dan adil, selain adanya mekanisme pemantauan yang benar-benar mengambil kira kemampuan pengguna.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan menilai semula struktur tambang bas ekspres secara menyeluruh bukan sahaja dari sudut kos pengusaha, tetapi juga berdasarkan kemampuan sebenar rakyat.

Jika perlu, wujudkan mekanisme subsidi bersasar, insentif kepada pengusaha yang mengekalkan tambang pada kadar munasabah, atau pemantauan berkala terhadap kenaikan tambang supaya pengguna tidak menjadi mangsa setiap kali kos operasi meningkat.

Kami faham kos pengusaha meningkat. Tetapi siapa yang memahami beban kami?

Sebagai pengguna, kami cuma mahukan satu perkara iaitu tambang yang adil dan pengangkutan awam yang benar-benar mampu digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Kerana pengangkutan awam bukan sekadar soal membawa manusia dari satu destinasi ke destinasi yang lain.

Ia adalah sebahagian daripada kehidupan rakyat. Dan apabila kos untuk bergerak semakin mahal, kehidupan rakyat juga menjadi semakin berat.

Pengguna terbeban,
Shah Alam, Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI