Lebih RM800,000 naik taraf lampu sepanjang Jalan Gopeng

KAMPAR – Sebanyak RM813,608 telah diperuntukkan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pelaksanaan tiga projek penyelenggaraan dan naik taraf lampu jalan di sepanjang Jalan Gopeng, di sini.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, peruntukan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) itu diperoleh hasil kerjasama beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Angeline Koo Haai Yen.

Menurut beliau, Ketiga-tiga projek tersebut telah siap pada Ogos dan September tahun ini, sekali gus menyediakan persekitaran perjalanan yang lebih terang dan selamat kepada penduduk serta pengguna jalan raya pada waktu malam.

Zhemin berkata, kerja naik taraf berkenaan bukan sekadar menggantikan lampu natrium lama berwarna kuning kepada lampu LED, malah turut membabitkan pembaikan dan penggantian pendawaian, peti pembekal elektrik serta tiang lampu.

“Penambahbaikan itu penting bagi memastikan sistem pencahayaan jalan beroperasi dengan lebih baik dan stabil, selain meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga ekoran lampu jalan merupakan kemudahan asas yang berkait rapat dengan keselamatan perjalanan harian penduduk.

“Pencahayaan yang lebih baik membolehkan pemandu melihat keadaan jalan, garisan jalan dan pengguna jalan raya lain dengan lebih jelas, di samping meningkatkan keselamatan pejalan kaki pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut Zhemin berkata, projek bagi jajaran Taman Kampar Jaya ke Batu Karang merupakan yang terbesar dengan peruntukan RM333,590 dengan kerja bagi jajaran sepanjang laluan itu bermula pada 30 April lalu dan siap pada 6 Ogos.

“Bagi jajaran MH Unilodge ke Taman Kampar Jaya pula, peruntukan berjumlah RM238,538 dengan kerja bermula pada 29 Mei dan siap pada 4 September.

“Manakala jajaran Sekolah Pei Yuan ke MH Unilodge menerima peruntukan RM241,480 dan turut bermula pada 29 Mei sebelum disiapkan pada 4 September,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan lebih banyak peruntukan infrastruktur bagi kawasan Kampar, termasuk membabitkan aspek jalan raya, pencahayaan dan kemudahan awam.

Katanya, usaha tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan infrastruktur awam di kawasan berkenaan terus dipertingkatkan demi meningkatkan kualiti hidup penduduk. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI