130 jadi 206, penyertaan Bot Berhias Bukit Gantang meningkat 60 peratus

TAIPING – Penyertaan Pertandingan Bot Berhias Sempena Hari Malaysia 2026 Peringkat Parlimen Bukit Gantang meningkat 60 peratus kepada 206 peserta berbanding 130 tahun lalu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pertambahan peserta membuktikan program yang memasuki tahun kelima penganjurannya semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau berkata, penganjur juga terpaksa menolak beberapa permohonan penyertaan lain selepas jumlah peserta mencapai kapasiti yang ditetapkan.

“Pada tahun ini kita berjaya mengumpulkan 206 peserta, sedangkan tahun lalu hanya 130 peserta. Ada lagi permintaan untuk menyertai tetapi kita terpaksa menolaknya kerana sudah terlalu ramai.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal melepaskan peserta Perarakan dan Pertandingan Bot Berhias Sempena Hari Malaysia Peringkat Parlimen Bukit Gantang di Jeti LKIM Sungai Kerang, Trong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 SEPTEMBER 2026.

“Ini menunjukkan sambutan terhadap program ini semakin meningkat dan sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui pada pertandingan berkenaan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang, di sini, pada Rabu.

Tambah beliau, peningkatan penyertaan itu turut melibatkan penyertan daripada masyarakat berbilang kaum apabila tujuh bot yang disertai masyarakat Cina turut mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.

“Perkembangan ini mencerminkan sambutan Hari Malaysia di Parlimen Bukit Gantang bukan hanya melibatkan golongan nelayan, malah turut disertai keluarga dan masyarakat setempat,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin berkata, penganjuran pertandingan itu juga bertujuan menghargai golongan nelayan yang disifatkan sebagai antara kelompok penting dalam memastikan bekalan sumber protein kepada rakyat Malaysia terus mencukupi.

Menurutnya, golongan nelayan sering berdepan cabaran dalam mencari rezeki di laut, justeru program berkenaan diadakan setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka.

Sebahagian bot nelayan yang menyertai Perarakan dan Pertandingan Bot Berhias Sempena Hari Malaysia Peringkat Parlimen Bukit Gantang di Jeti LKIM Sungai Kerang, Trong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 16 SEPTEMBER 2026.

“Nelayan ini sering dilupakan sedangkan mereka sentiasa turun ke laut mencari sumber protein untuk rakyat Malaysia.

“Sebab itu saya adakan program ini setiap tahun untuk meraikan mereka dan menyediakan hadiah yang agak lumayan supaya mereka dapat bersama-sama menikmati sambutan ini,” katanya.

Pertandingan Bot Berhias Hari Malaysia 2026 berkenaan dianjurkan Pejabat Ahli Parlimen Bukit gantang sempena program Rancakkan Agro Pelancongan Trong 2026.

Dengan hadiah wang tunai sehingga RM5,000 bagi Kategori A dan RM3,000 bagi Kategori B, peserta turut diwajibkan menghiasi bot masing-masing dengan sekurang-kurangnya 10 bendera Malaysia dan Perak, sekali gus menyemarakkan suasana sambutan Hari Malaysia di perairan Trong. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI