Sungai Kerang: Dari lubuk pemancing ke destinasi agropelancongan

BUKIT GANTANG – Kehadiran pemancing dari luar kawasan ke Sungai Kerang bukan sekadar menghidupkan aktiviti kelong di Sungai Kerang, malah mencetuskan rantaian ekonomi kepada penduduk setempat menerusi sektor penginapan, makanan, jualan hasil laut dan bekalan umpan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, perkembangan aktiviti memancing di kawasan itu kini memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai kelompok masyarakat, sekali gus membuka ruang untuk Sungai Kerang dibangunkan sebagai destinasi agropelancongan.

Menurut beliau, jumlah kelong di kawasan berkenaan kini meningkat kepada hampir 20 berbanding dua kelong sebelum ini, dengan kunjungan pemancing yang tidak putus-putus.

“Apabila orang datang memancing, kelong mendapat manfaat. Mereka akan menginap di homestay di darat dan makan di restoran.

“Mereka juga membeli hasil-hasil laut yang banyak terdapat di sini, manakala pemancing memerlukan umpan yang turut boleh mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Pertandingan Bot Berhias Sempena Hari Malaysia 2026 Peringkat Parlimen Bukit Gantang di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang, di sini.

Syed Abu Hussin berkata, keadaan itu menunjukkan aktiviti memancing membawa limpahan ekonomi kepada penduduk setempat kerana perbelanjaan pengunjung tidak hanya tertumpu kepada pengusaha kelong.

Sebaliknya, katanya, ia turut memberi manfaat kepada pengusaha inap desa, restoran, peniaga umpan, penjual hasil laut dan penduduk yang menjalankan aktiviti perniagaan berkaitan.

Suasana Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Apabila pemancing datang, bukan kelong sahaja yang mendapat hasil. Mereka tinggal di homestay, makan di restoran, membeli hasil laut dan umpan dan inilah kesan agropelancongan yang sudah berlaku di kawasan ini.

“Di kawasan ini ada pelbagai hasil laut. Saya mahu kawasan ini mempunyai aktiviti ekonomi lain supaya penduduk tidak semestinya bergantung hidup dengan laut semata-mata,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh lagi rantaian ekonomi itu, Syed Abu Hussin berkata, konsep jualan terapung dirancang diperkenalkan di Sungai Kerang pada tahun hadapan.

Katanya, inisiatif tersebut dijangka menambah satu lagi tarikan kepada pengunjung selain memberikan ruang kepada penduduk tempatan menjual makanan dan produk hasil laut secara terus kepada pelancong serta pemancing.

“Saya mahu cuba memperkenalkan jualan terapung dan menjadikan kawasan ini sebagai kawasan agropelancongan,” katanya.

Beliau berkata, usaha membangunkan Sungai Kerang sebagai destinasi agropelancongan lengkap dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun, manakala konsep jualan terapung pula disasarkan dapat direalisasikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Katanya, pembangunan berkenaan bukan sahaja bertujuan menarik lebih ramai pengunjung, malah membuka peluang kepada penduduk tempatan mempelbagaikan sumber pendapatan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI