Kenaikan bil elektrik: AMK harap langkah mitigasi kerajaan beri kelegaan

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) berharap langkah mitigasi yang akan diputuskan kerajaan berhubung kenaikan bil elektrik ketika ini dapat memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, AMK mengalu-alukan tindakan kerajaan yang mengambil serius terhadap keluhan pengguna dengan mengadakan perbincangan khusus bagi menilai semula mekanisme semasa berkaitan kadar bil elektrik.

Beliau berkata, tindakan susulan yang sedang diambil diharap dapat meringankan beban pengguna, khususnya mereka yang berdepan peningkatan bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak kebelakangan ini.

“Kita berharap ada tindakan susulan yang dapat meringankan dan memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan dengan keadaan ataupun pendekatan yang ada pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri kepada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perak di sini, pada Khamis.

Peruntukan yang berjumlah RM117,000 itu diserahkan beliau antaranya kepada Persatuan Penganut Sri Muniswarar Tanjung Rambutan, Pertubuhan Penggerak Tareqat Malaysia, Surau Kampung Sayong Hilir Kuala Kangsar serta Pertubuhan Proaktif Rakyat Parlimen Tambun.

Muhammad Kamil berkata, meskipun mekanisme sedia ada dilihat mempunyai keupayaan untuk membantu mengurangkan kadar bil elektrik, namun faktor cuaca panas dan keadaan jerebu ketika ini mungkin menyebabkan penggunaan elektrik meningkat.

Justeru beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, keadaan berkenaan perlu turut diambil kira dalam menilai semula kaedah semasa bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan peningkatan bil.

“Insya-Allah kita nantikan sekiranya ada pengumuman ataupun langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan dan meringankan beban yang dihadapi oleh pengguna pada ketika ini,” ujarnya.

Beliau berkata, perkembangan itu juga menunjukkan kerajaan mengambil perhatian terhadap keresahan yang dibangkitkan rakyat berhubung isu berkenaan.

“Dan sejurus sahaja tiba (dari lawatan kerja luar negara) semalam, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengeluarkan kenyataan untuk melihat, menilai semula mekanisme dan juga kaedah semasa, kerana ada keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Pada Rabu, Anwar dilaporkan berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.

Mesyuarat itu membabitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), TNB dan Kementerian Kewangan.

Menurut Anwar, keadaan jerebu serta cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah sehingga penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kilowatt-jam (kWj) dan tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Kamil berkata penglibatan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi turut mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan negara anggota kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, sebaik tiba di New Delhi, Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian serta pemimpin negara lain sepanjang kunjungan berkenaan.

“Secara tidak langsung menunjukkan komitmen luar biasa negara-negara besar, kuasa-kuasa besar dunia dan juga negara-negara lain terhadap kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang hari ini dilihat mempunyai kedudukan dan juga potensi yang sangat luar biasa,” jelasnya. – MG Perak

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI