IPOH – Serai Group Sdn Bhd memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi perbelanjaan modal (Capex) untuk membangunkan Serai Estate yang merupakan lokasi pertama peluasan operasinya di luar Lembah Klang.
Pengarah Urusan Serai Group, Datuk Najib Hamid berkata, pelaburan itu melibatkan pembangunan beberapa konsep baharu dalam kawasan Serai Estate, termasuk restoran, dewan acara, ruang kopi, minum petang, barbeku Amerika dan sajian dim sum halal premium.
Menurut beliau, Serai Estate yang terletak di Taman Chateau, di sini, bakal menjadi sebagai destinasi makanan, minuman dan gaya hidup yang mampu menarik pengunjung pada waktu berbeza, berbanding hanya bergantung kepada satu konsep restoran.
“Sebenarnya kita belanja agak tinggi untuk Serai Estate dan semasa masuk tempat ini ia memang hampir siap cuma bila kita masuk banyak benda perlu ditukar dan ditambah baik.

“Untuk buka restoran berkonsep ia memerlukan pelaburan yang sedikit tinggi dan dalam perancangan kita membelanjakan kurang lebih RM15 juta untuk siapkan semua yang kita rancang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Prapelancaran dan Media Preview Serai Estate, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, antara komponen utama yang dirancang ialah Serai Restaurant, Serai Hall yang mampu menampung antara 250 hingga 300 tetamu serta ruang bagi penganjuran acara korporat, pelancaran produk dan majlis perkahwinan.
Katanya, kumpulan itu turut merancang mewujudkan Orchid House yang menawarkan pengalaman minum petang, selain konsep American barbecue yang beroperasi dari lewat petang sehingga malam.
Mengulas lanjut, Najib berkata, pembangunan Serai Estate turut menjadi langkah penting dalam strategi peluasan Serai Group selepas majoriti operasi kumpulan berkenaan sebelum ini tertumpu di Lembah Klang.

Najib berkata, pembangunan Serai Estate dan perancangan peluasan ke negeri-negeri lain akan dilaksanakan secara berperingkat, termasuk ke Pulau Pinang, Johor dan Sabah.
“Perak ialah lokasi pertama kita keluar daripada Lembah Klang dan selepas ini kami merancang untuk memasuki pasaran Pulau Pinang dan ia sudah berada dalam perancangan.
“Selain itu, Perak penting kepada strategi peluasan ini kerana selain mempunyai potensi pasaran, Perak berkenaan turut mempunyai hubungan logistik yang baik dengan Lembah Klang,” katanya.
Untuk rekod, Serai Estate menghimpunkan sebuah restoran, enam bilik makan persendirian serta sebuah dewan acara yang dibina khas, dengan keseluruhan ruangnya menampilkan motif, bahan dan hasil kraf Perak yang boleh dilihat, disentuh serta dinikmati oleh para tetamu.


