BAGAN DATUK – Mayat seorang lelaki warga Myanmar ditemukan di Sungai Bernam berhampiran Jambatan Seri Perkasa, Hutan Melintang, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, bomba menerima panggilan daripada polis pada jam 9.29 pagi berhubung penemuan satu mayat di dalam sungai berkenaan.
Menurutnya, sejurus menerima panggilan tersebut, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, kita dimaklumkan mayat mangsa lelaki berusia 32 tahun itu berada kira-kira 500 meter dari jeti Jalan Sabak Bernam dan anggota BBP Sabak Bernam turut berada di lokasi bersama pihak polis ketika jentera tiba.
“Ketua operasi kemudiannya menjalankan penilaian situasi sebelum anggota bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti menggunakan bot nelayan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.40 pagi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki terjun ke Sungai Perak cuba selamatkan bot hanyut ditemukan lemas


