PARIT BUNTAR – Pembangunan fasiliti kesihatan moden perlu disertai dengan kesedaran serta tanggungjawab rakyat dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hospital semata-mata tidak mampu menampung keperluan kesihatan sesebuah negara sekiranya masyarakat tidak mengambil langkah pencegahan dan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Di hospital, keutamaan kita adalah ‘sick-care’, iaitu rawatan reaktif apabila dihinggapi penyakit.
“Hakikatnya, penjagaan kesihatan yang sebenar-benarnya mesti bermula dari rumah, yang mana setiap pasangan, ibu dan bapa mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan diri dan keluarga masing-masing.

Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
“Kita tidak akan mampu membina sistem kesihatan yang mampan jika kita tidak membina masyarakat yang sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada perasmian Hospital Parit Buntar yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama mengiringi baginda Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubir; barisan Exco Kerajaan Perak dan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, pendekatan pembangunan yang mengutamakan insan selari dengan penekanan Sultan Perak terhadap kepentingan kebajikan rakyat, khususnya dalam bidang kesihatan dan pendidikan.

Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
“Berpaksikan pendekatan itu, fasiliti kesihatan di Perak terus diperkasakan bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang adil dan saksama, selaras dengan hala tuju yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan,” jelasnya.
Katanya, Perak kini mempunyai sebuah institusi psikiatri, hospital (14), Klinik Kesihatan (89), Klinik Pergigian (78) Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (10), Klinik Desa (188) serta Klinik Komuniti (16) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


