TAPAH – Sekolah Menengah Sains Tapah (SeSTa) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mempertahankan kejayaan meraih Anugerah Lima Bintang untuk tiga tahun berturut-turut.
Anugerah itu diperoleh sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2026 di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban baru-baru ini.
Pengetuanya, Nor Hashimah Abdul Samat berkata, kejayaan itu diraih berkat penerapan ‘Budaya Cemerlang’ dalam menguruskan penginapan murid sehingga mencapai kejayaan sejak tahun 2024 hingga kini.
Menurutnya, sebanyak 72 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang terlibat dalam pertandingan ini memberikan persaingan sihat dengan masing-masing memiliki kekuatan, keunggulan dan aspirasi untuk menang.
“Bagaimanapun, di sebalik kejayaan ini, ada tangan yang menghulur sokongan, ada hati yang teguh menyimpan harapan dan ada insan yang terus melangkah tanpa kenal erti penat lelah.
“Mereka ialah guru-guru khususnya warden yang mendidik, membimbing, memantau dan memastikan setiap sudut kehidupan asrama bergerak menuju kecemerlangan, disiplin anak-anak turut menjadi tunjang kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata anak-anak dibesarkan dalam suasana yang mematuhi peraturan, menjaga kebersihan, menghargai kemudahan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah sesuai dengan 10 rukun asrama SeSTa.
Katanya, sokongan padu daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KISB) juga antara yang sentiasa bersama pihak sekolah, menyumbang tenaga, idea, sokongan dan keprihatinan demi memastikan kebajikan serta kecemerlangan anak-anak terus terbela.
“Kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai oleh SesTa, diyakini tidak lahir secara kebetulan, tetapi berkat kesungguhan semua pihak yang membantu mengukuhkan disiplin anak-anak,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
SBP perlu ke hadapan capai kecemerlangan SPM – Khairudin


