KUALA KANGSAR – Dua beranak ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di Kampung Cheh, Kati di sini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun dan anak lelakinya berusia 15 tahun itu dikeluarkan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar di sini hari ini.
Tempoh reman bermula hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek berusia 15 tahun direman dua hari sehingga esok, manakala bapanya yang juga suami mangsa direman tujuh hari sehingga Rabu ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun dilaporkan berkata, dua ahli keluarga mangsa ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa berusia 49 tahun dan suspek. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita OKU ditemukan mati ditikam, dua ahli keluarga ditahan


