KOTA KINABALU – Malaysia perlu memperkukuh pertahanan negara khususnya di Sabah susulan perkembangan serantau yang melibatkan ketenteraan kuasa besar di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia memberikan perhatian kepada perkembangan itu dan perlu mengambil tindakan yang boleh membantu negara dari segi pertahanan,.
Beliau berkata kebimbangan utama Malaysia adalah sekiranya berlaku konflik atau insiden luar jangka di kawasan terbabit yang berpotensi mencetuskan impak kepada negara, khususnya Sabah.
“Kalau berlaku perkara yang tidak dijangka, kita tahu cabaran Laut China Selatan dan persaingan antara kuasa-kuasa besar. Jika berlaku di kawasan itu, yang begitu kecil dari segi geografinya, mungkin menjejaskan juga negara kita,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini.
Beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan rakyat Sabah susulan kerjasama pertahanan antara Filipina dan Amerika Syarikat (AS) yang meningkatkan pembangunan pangkalan tentera termasuk di Pulau Balabac di Palawan, yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Pulau Banggi, Kudat, Sabah.
Mohamed Khaled berkata Malaysia menghormati hak Filipina untuk memperkukuh keupayaan pertahanannya menerusi kerjasama dengan AS, namun perkembangan itu perlu diberi perhatian berikutan kedudukan Sabah yang berhampiran dengan negara itu.
Beliau berkata Malaysia tidak mempertikaikan langkah Filipina namun sebagai negara jiran, sebarang peningkatan pembangunan pangkalan tentera atau kehadiran aset ketenteraan di kawasan berkenaan perlu diambil kira dari sudut keselamatan negara.
“Setiap negara mempunyai hak untuk memperkukuh pertahanan negara masing-masing.
“Itu hak mereka, kita tidak mempertikaikan tetapi sebagai sebuah negara jiran kita beri perhatian dan kita wajar mengambil tindakan yang boleh membantu negara kita dari segi pertahanan,” katanya. – BERNAMA


