‘Perak Pawsitive Initiative’ berjaya mandulkan 2,289 ekor anjing, kucing sejak 2024

TANJUNG MALIM – Sebanyak 2,289 ekor anjing dan kucing telah berjaya dimandulkan di bawah program Perak Pawsitive Initiative yang diperkenalkan sejak 2024 sehingga Ogos tahun ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 1,298 lesen anjing turut dikeluarkan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, angka tersebut menunjukkan bahawa usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak dua tahun lalu terus berkembang.

“Bagaimanapun, jumlah pemandulan bukan matlamat akhirnya. Apa yang kita mahu ialah semakin ramai pemilik mengambil tanggungjawab lebih awal.

“Tindakan awal dapat membantu mengurangkan pembiakan tidak terkawal dan dalam jangka panjang, semakin kurang haiwan yang dibuang atau akhirnya menjadi haiwan terbiar.

“Sebab itu Perak Pawsitive Initiative bukan sekadar program pemandulan bersubsidi. Pendekatan kita merangkumi akses kepada pemandulan, pelesenan, pendidikan masyarakat serta kerjasama antara kerajaan kegeri, PBT, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), doktor veterinar dan komuniti.

“Kita tahu masalah ini tidak akan selesai melalui satu atau dua program, tetapi usaha yang konsisten dari punca boleh mengurangkan aduan, tekanan kepada PBT dan pada masa yang sama membina budaya pemilikan haiwan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perak Pawsitive Initiative Klinik Haiwan dan Surgeri Tanjung Malim di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Sandrea berkata, usaha meningkatkan kesedaran mengenai pemilikan haiwan yang bertanggungjawab turut diperluaskan ke sekolah menerusi kerjasama dengan Noah’s Ark Ipoh, melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Behrang 2020, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Slim River dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Sin.

“Langkah itu penting bagi memastikan pendidikan mengenai tanggungjawab terhadap haiwan diterapkan sejak peringkat awal, termasuk aspek penjagaan kesihatan, kebajikan serta pembiakan haiwan.

“Pendedahan berkenaan turut diharap dapat membentuk kefahaman dalam kalangan murid bahawa tanggungjawab memelihara haiwan bukan sekadar menyediakan makanan dan minuman, malah merangkumi penjagaan secara menyeluruh,” ujarnya.

Katanya, pengetahuan yang diperoleh di sekolah juga berpotensi dikongsi bersama keluarga secara tidak langsung membantu memperluaskan kesedaran mengenai pemilikan haiwan yang bertanggungjawab dalam komuniti. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemaju disaran bekerjasama tangani isu haiwan terbiar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI