Belanjawan 2027: Perak harap projek pindahan air Sungai Perak diberi tumpuan

IPOH – Kerajaan Perak berharap projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di daerah Kerian diberi tumpuan Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 yang dijadualkan dibentangkan pada Oktober ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan bagi pembinaan infrastruktur asas projek itu penting bagi membolehkan pelaksanaan pemindahan air berkenaan dimulakan tahun depan.

Katanya, kos bagi penyediaan infrastruktur projek berkenaan dianggarkan bernilai sehingga RM2 bilion, tidak termasuk kos pembinaan loji rawatan air, dengan ia dijangka boleh berfungsi pada tahun 2030 sekiranya dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Jelas beliau, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) juga sudah mengemukakan senarai keperluan Perak kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan dalam Belanjawan 2027.

“Kita dalam fasa hendak merealisasikan projek pemindahan air daripada Sungai Perak ke Bukit Merah dan kita harap tahun ini ia dapat dimasukkan dalam Belanjawan Persekutuan supaya boleh dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Rasmi Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas 2MW di Tapak Pelupusan Sanitari Lahat, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching; Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim; Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah, serta Pengarah Urusan Teraju Sepadu Sdn Bhd, Datuk Roshidi Hashim.

projek pemindahan air Sungai Perak Keyphrase synonyms: pemindahan air Sungai Perak, projek pindahan air Sungai Perak, projek air Sungai Perak, pemindahan air ke Empangan Bukit Merah Related keyphrases: projek pemindahan air ke Bukit Merah Empangan Bukit Merah Belanjawan 2027 Perak bekalan air Perak KIGIP kerian
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melancarkan Rasmi Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas 2MW di Tapak Loji Tenaga Boleh Diperbaharui Biogas, Lahat. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 SEPTEMBER 2026.

Tambah Saarani, usaha pemindahan air itu akan membantu memenuhi keperluan air serta pembangunan di bahagian utara Perak, khususnya Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di samping menyokong keperluan pengairan sektor pertanian.

Jelas beliau, sebarang lebihan bekalan air yang diperoleh daripada projek berkenaan pula akan dipertimbangkan untuk dijual sebagai air terawat kepada Pulau Pinang selepas keperluan di kawasan berkenaan dipenuhi.

Saarani berkata, terdapat dua komponen utama pembiayaan projek itu, iaitu penyediaan infrastruktur asas yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dan pembiayaan bagi pembangunan seterusnya oleh Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP).

“Perkara penting ialah infrastruktur itu perlu disiapkan dahulu kerana kita sudah ada (cadangan) laluan yang hendak dibuat.

“Cuma ia memerlukan infrastruktur seperti pam untuk sedut air masuk selain memerlukan terowong untuk membawa air itu (ke daerah di Kerian),” katanya.

Jelas Saarani, KAP yang merupakan syarikat usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Gamuda Berhad pula boleh mendapatkan pembiayaan melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan, inisiatif pembiayaan swasta (PFI), institusi perbankan atau sukuk bagi komponen berkaitan.

Dalam pada itu beliau berkata, selain daripada projek pemindahan air di Sungai Perak, kerajaan negeri turut mengemukakan kepada Persekutuan keperluan pembangunan sekolah termasuk pembinaan bangunan tambahan bagi sekolah sedia ada yang dijangka menerima pertambahan kemasukan murid Tahun Satu nanti.

Ujar Saarani, keperluan itu turut merangkumi penggantian bagi struktur bangunan sekolah uzur serta pembinaan sekolah baharu di kawasan pertumbuhan seperti di daerah Tanjung Malim dan Kerian.

“Kita tidak mahu sekolah dua sesi, sebaliknya kita mahu sekolah satu sesi dan sekolah yang dikatakan selesa untuk pelajar belajar,” katanya lagi. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Projek air Sungai Perak-Bukit Merah sejauh 60km di peringkat akhir kajian

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI