IPOH – Enam individu terselamat apabila dua kenderaan yang mereka naiki dihempap pokok tumbang berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Simpang Pulai-Lahat, Station 18 di sini petang ini.
Kejadian dipercayai berlaku selepas hujan lebat dan angin kencang yang melanda di sekitar kawasan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.26 petang.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya di lokasi, didapati pokok tumbang telah menghempap dua kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Bezza dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
“Kesemua mangsa berjaya keluar sendiri dalam keadaan selamat sebelum ketibaan pasukan bomba,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika ini anggota bomba sedang menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok bagi memastikan laluan berkenaan selamat serta tidak membahayakan pengguna jalan raya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Enam individu berdepan detik cemas kereta dihempap pokok tumbang


