‘E-kor’ diiktiraf halal, nikmati hidangan ikonik ayam garam tanpa waswas

IPOH sememangnya sinonim dengan ayam garam yang cukup terkenal khususnya dalam kalangan masyarakat Cina serta menjadi antara hidangan ikonik pilihan pelancong.

Kini, hidangan itu boleh dinikmati tanpa waswas apabila Kafe E-kor secara rasmi menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Ogos tahun ini.

Pengasas Kafe E-kor, Lim Dao Kang, 38, berkata, pensijilan berkenaan secara tidak langsung memberi pilihan baharu kepada pelanggan, khususnya mereka yang sebelum ini mungkin sukar mendapatkan hidangan ayam garam yang disahkan halal.

E-kor diiktiraf halal, nikmati hidangan ikonik ayam garam tanpa waswas
Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang diterima Kafe E-Kor dipamerkan di premis berkenaan di Jalan Yau Tet Shin, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 SEPTEMBER 2026.

Menurutnya, kafe yang mengetengahkan konsep minimalis berinspirasikan gaya Muji dari Jepun itu mula beroperasi sejak tahun lalu.

“Selama ini, kebanyakan makanan yang mudah ditemui di pasaran lebih tertumpu kepada rasa pedas dan manis, sedangkan pilihan makanan berasaskan rasa masin tidak begitu banyak.

“Saya melihat ada ruang dalam pasaran untuk ayam garam dan mahu menjadikannya sebagai salah satu pilihan makanan yang boleh dinikmati semua golongan,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette Perak (MG Perak) di sini hari ini.

E-kor diiktiraf halal, nikmati hidangan ikonik ayam garam tanpa waswas
Kafe E-Kor yang menerima pensijilan halal JAKIM terletak di Jalan Yau Tet Shin, Taman Jubilee, Ipoh dan menawarkan pelbagai hidangan berasaskan ayam garam kepada pelanggan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata, selain menawarkan ayam garam seekor, konsep kafe itu turut mengolah hidangan berkenaan dalam beberapa menu lain bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan.

Katanya, antara menu yang ditawarkan ialah Salted Baked Chicken Drumstick Rice, ayam garam bersama pasta, sup pasta, dry pasta serta okayu atau bubur nasi, selain ayam garam yang dipotong seperti bahagian paha untuk dinikmati bersama nasi.

“Konsep kami bukan sekadar menjual ayam garam seekor. Kami cuba menggabungkan ayam garam dengan menu lain seperti pasta dan sup supaya pelanggan dapat merasai sesuatu yang lebih istimewa.

E-kor diiktiraf halal, nikmati hidangan ikonik ayam garam tanpa waswas
Hidangan Stir-Fry Spicy Salt Baked Chicken Pasta menggabungkan isi ayam garam bersama pasta pedas antara pilihan menu di Kafe E-Kor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 SEPTEMBER 2026.

“Apabila pelanggan datang ke sini, mereka mempunyai beberapa pilihan selain hanya makan ayam garam dengan nasi,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya menggunakan ayam kampung yang mempunyai tekstur daging lebih kenyal dan rasa ayam yang lebih asli berbanding ayam putih.

Dalam pada itu, Dao Kang berkata, aspek halal menjadi keutamaan sejak awal pembukaan kafe dan pihaknya mendapatkan bekalan ayam daripada ladang yang memenuhi keperluan halal, termasuk proses penyembelihan mengikut ketetapan yang ditetapkan.

E-kor diiktiraf halal, nikmati hidangan ikonik ayam garam tanpa waswas
Proses penyediaan ayam garam melibatkan kaedah pembakaran menggunakan campuran garam panas sebelum dihidangkan kepada pelanggan di Kafe E-Kor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 SEPTEMBER 2026.

“Untuk mendapatkan sijil halal, kita perlu memenuhi semua syarat dan keperluan yang ditetapkan. Prosesnya memang mengambil masa, tetapi bagi kami ia penting kerana sasaran pelanggan bukan sahaja masyarakat bukan Islam, malah majoriti pelanggan kami ialah orang Islam.

“Selepas mendapat pensijilan halal, keyakinan pelanggan juga semakin meningkat. Kira-kira 70 peratus pelanggan kafe terdiri daripada orang Islam, manakala maklum balas yang diterima terhadap hidangan juga amat menggalakkan.

“Kami dengar maklum balas itu dan cuba lakukan penyesuaian supaya makanan yang dihidangkan benar-benar memenuhi selera pelanggan,” katanya.

E-kor diiktiraf halal, nikmati hidangan ikonik ayam garam tanpa waswas
Pengasas Kafe E-Kor, Lim Dao Kang ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata, permintaan terhadap ayam garam juga menunjukkan perkembangan positif apabila pada peringkat awal pihaknya menjual kira-kira 1,000 ekor ayam sebulan, sebelum meningkat kepada sekitar 1,500 ekor bagi tempoh sama selepas memperoleh pensijilan halal.

“Kafe ini adalah satu-satunya menawarkan ayam garam dengan pensijilan halal di Perak, sekali gus membuka ruang untuk memperkenalkan hidangan berkenaan kepada segmen pelanggan yang lebih luas.

“Kami mahu orang ramai melihat ayam garam bukan hanya sebagai makanan untuk satu kaum, dengan adanya pilihan halal, lebih ramai orang boleh mencubanya,” jelasnya.

E-kor diiktiraf halal, nikmati hidangan ikonik ayam garam tanpa waswas
Proses penyediaan ayam garam melibatkan kaedah pembakaran menggunakan campuran garam panas sebelum dihidangkan kepada pelanggan di Kafe E-Kor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 SEPTEMBER 2026.

Dalam perkembangan sama, Dao Kang berkata, pihaknya kini merancang untuk mengembangkan perniagaan menerusi pembukaan cawangan baharu serta meneroka konsep central kitchen bagi menghasilkan produk ayam garam halal yang boleh dibeli pelanggan untuk dibawa pulang.

Katanya, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan Sunway Mall bagi kemungkinan membuka cawangan di pusat beli-belah berkenaan pada tahun hadapan.

E-kor diiktiraf halal, nikmati hidangan ikonik ayam garam tanpa waswas
Cheesy Croquettes yang disajikan menjadi antara pilihan pelanggan selain hidangan utama ayam garam di Kafe E-Kor, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 29 SEPTEMBER 2026.

“Perancangan kami bukan hanya untuk kekal sebagai sebuah kafe. Kami mahu melihat bagaimana ayam garam ini boleh dikembangkan sebagai produk halal yang boleh dinikmati lebih ramai pelanggan, termasuk dibawa pulang,” ujarnya.

Kafe yang terletak di Jalan Yau Tet Shin, Taman Jubilee, di sini beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Ahad, bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Jangan biarkan pasaran umat Islam dibanjiri ayam yang diragui status halal – MEH

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI