Proses bedah siasat empat mangsa kemalangan maut di Gerik selesai

TAIPING – Proses bedah siasat empat individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang terbabit dengan kemalangan maut di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran kawasan Tasik Banding, Gerik semalam, selesai sepenuhnya tengah hari ini.

Kesemua jenazah selesai menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Taiping di sini dan telah dituntut oleh waris keluarga kesemua mangsa terbabit.

Jenazah pertama dilihat keluar dari pekarangan jabatan itu pada 9.55 pagi seterusnya jenazah kedua pada 12.30 tengah hari dan dua jenazah terakhir pula dibawa keluar dengan van jenazah kira-kira 1.32 tengah hari.

Tinjauan mendapati waris keluarga mangsa tiba di pekarangan jabatan berkenaan kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Abdul Samad Othman memaklumkan identiti mangsa kemalangan maut telah dikenal pasti iaitu Al Zubair Deraman, 31, Tuan Shazrin Tuan Mud, 40, dan Nik Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19, namun identiti kanak-kanak perempuan itu tidak dapat disahkan.

Kemalangan kira-kira 1.30 tengah hari semalam membabitkan tiga sekawan yang dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu, Kelantan selepas melakukan aktiviti memancing di Perak.

Difahamkan mangsa yang cedera pula ialah Mohammad Shiraz Hammani Abdul Fattah, 9, dan kesemua mangsa beralamat di Kota Bharu, Kelantan.

Kemalangan maut itu dipercayai berpunca daripada kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum merempuh bahagian hadapan lori di lokasi itu.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 1.30 tengah hari itu melibatkan tiga kenderaan iaitu lori Hino, Proton Persona dan Perodua Axia.

Sementara itu, bapa saudara kepada Allahyarham Nik Mohamad Hafiz Daniel, Mohd Yasri Yasin, 43, berkata ketiga-tiga mangsa dewasa yang terkorban dalam insiden itu merupakan kenalan.

“Mereka bergerak dari Kelantan untuk memancing di Perak sekitar pukul 4 atau 5 pagi dan bertolak untuk pulang tengah hari semalam.

“Bagaimanapun, mereka terlibat kemalangan di lokasi tersebut. Dua mangsa kanak-kanak adalah anak Tuan Shazrin,” katanya.

— BERNAMA


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI