KUALA LUMPUR – Seramai sembilan juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bakal menikmati bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun.
Sumbangan itu disalurkan menerusi peningkatan peruntukan STR dan SARA kepada RM16 bilion bagi 2027, berbanding RM15 bilion sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu bertujuan membantu penerima menampung perbelanjaan keperluan asas, dengan kadar bantuan yang disediakan sehingga RM1,800 setahun bagi setiap penerima.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang ambang sambutan kemerdekaan.
“Inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).
“Dalam usaha memperluas akses kepada barangan keperluan, kerajaan membenarkan penggunaan SARA untuk membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
“Ketika ini, terdapat 15,000 premis rakan niaga SARA, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi. Jumlah kedai runcit kecil yang terlibat disasarkan meningkat kepada 10,000 sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2027 hari ini.
Sementara itu, katanya, peruntukan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI ditingkatkan daripada RM630 juta kepada RM750 juta, dengan sasaran keseluruhan 35,000 penganjuran.
Daripada jumlah itu, sebanyak 30,000 penganjuran Jualan Rahmah disasarkan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan tumpuan diperluas ke kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar.
Pelaksanaan Jualan Rahmah turut diperluas menerusi penggunaan mesin layan diri, selain penganjuran Jualan Rahmah MADANI Borong bagi membantu peniaga kecil.
Bagi Jualan Agro MADANI pula, sebanyak 5,000 penganjuran disasarkan dengan menawarkan hasil pertanian segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.
Dalam pada itu, pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman turut diperluas menerusi peruntukan RM250 juta, melibatkan enam lokasi baharu termasuk Kampung Terian, Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Godam, Pusa, Sarawak. – MalaysiaGazette


