Kemalangan tiga kenderaan: Wanita maut, penunggang motosikal cedera

IPOH – Seorang wanita berusia 55 tahun maut selepas motosikal yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 286.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu turut menyebabkan penunggang motosikal berkenaan, seorang lelaki berusia 55 tahun, cedera.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Proton Gen-2 telah berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan.

“Motosikal jenis Honda ADV160 yang ditunggangi lelaki berkenaan bersama seorang pembonceng wanita kemudian dipercayai merempuh bahagian belakang sebelah kanan kereta itu sebelum hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, sebuah kenderaan motojip yang datang dari arah belakang dan bergerak sehala dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan motosikal berkenaan.

“Akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke atas jalan raya, manakala pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas paramedik,” katanya lagi.

Muhammad Najib berkata, penunggang motosikal yang cedera dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk mendapatkan rawatan.

Jelas beliau, sementara pemandu kereta Proton Gen-2 berusia 53 tahun dan pemandu kenderaan motojip berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Justeru Muhammad Najib berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menerusi talian 05-2451500.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan kenderaan dan mengutamakan keselamatan ketika memandu. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Warga emas maut kemalangan tiga kenderaan di Gerik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI