IPOH – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Perak diminta menjalankan kajian terperinci berhubung isu perumahan di negeri ini, termasuk mengenal pasti punca lambakan unit rumah tidak terjual.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kajian itu penting bagi membantu kerajaan negeri merangka strategi bersesuaian untuk menangani isu berkenaan.
Menurutnya, sebanyak 4,075 unit rumah tidak terjual direkodkan di Perak setakat Jun lalu, dengan daerah Kinta, Sitiawan dan Hilir Perak mencatatkan jumlah tertinggi.
“Dalam mesyuarat Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak baru-baru ini, kita telah memberi tugas kepada REHDA Perak untuk menjalankan kajian berhubung beberapa isu perumahan, termasuk unit rumah tidak terjual.
“Kita berharap kajian dijalankan REHDA Institute yang ditambah dengan penelitian khusus mengenai keadaan di Perak dapat membantu mengenal pasti cadangan dan strategi bagi menangani isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) Perak 2026 anjuran REHDA Perak di pusat beli-belah AEON Kinta City di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi REHDA Perak, Ir Loh Ban Ho.
Mengulas lanjut Shy Ching berkata, kajian itu juga diperlukan bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan rumah tidak terjual supaya isu sama dapat dielakkan dalam perancangan pembangunan serta proses kelulusan projek baharu.
Kata beliau, kerajaan negeri turut mahu memastikan pembangunan perumahan yang diluluskan bersesuaian dengan permintaan dan keperluan penduduk, terutama di kawasan yang mempunyai lambakan unit tidak terjual.
“Data dan cadangan daripada kajian itu juga akan membantu kerajaan negeri menentukan langkah seterusnya, termasuk memastikan rumah yang dibangunkan dapat dipadankan dengan golongan yang masih belum memiliki kediaman,” katanya.
Jelas beliau lagi, status rumah tidak terjual turut mengambil kira unit yang masih belum terjual selepas enam bulan pelancaran, justeru jumlah itu tidak semestinya menunjukkan ketiadaan permintaan terhadap sesuatu projek.
Walau bagaimanapun Shy Ching berkata, kerajaan negeri akan meneliti projek serta lokasi yang mencatatkan jumlah unit tidak terjual yang tinggi sebelum mempertimbangkan permohonan pembangunan baharu di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, cadangan pengecualian duti setem yang diumumkan kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 berpotensi menjadi insentif tambahan untuk menggalakkan urusan jual beli hartanah.
Apabila kerajaan Persekutuan dalam belanjawan 2027 mencadangkan untuk mengecualikan duti setem, memang kita nampak itu satu langkah yang boleh memberi lebih banyak insentif kepada pihak untuk dalam jual beli urusan, yang khususnya
“Langkah ini diharapkan dapat membantu menangani menangani isu-isu berkaitan dengan unit rumah tidak terjual selepas pelancaran, serta dorongan kepada penyelesaian isu ini,” ujarnya.
MAPEX Perak 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 14 hingga 18 Oktober menampilkan penyertaan 23 pemaju hartanah menerusi 30 reruai.
Ekspo berkenaan menawarkan 2,301 unit hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM1.2 bilion, mencerminkan keyakinan pemaju terhadap pasaran hartanah di Perak. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
3,266 rumah siap dibina di Perak belum terjual – Sandrea


