KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong diberi tempoh 24 jam untuk menarik balik kenyataan bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan menerusi bajet tambahan.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, hasil semakannya menerusi hansard persidangan Dewan Rakyat bagi tempoh 2023 hingga 2025 mendapati tiada bajet tambahan diperuntukkan kepada KKDW dalam tempoh berkenaan.
“Saya nak bagi tempoh 24 jam kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam untuk tarik balik dakwaan bahawa KKDW telah mendapat bajet tambahan kerana saya telah semak rekod, tidak ada apa-apa.
“Kalau dalam masa 24 jam dia tak tarik balik kenyataan ini, saya akan rujuk Ahli Parlimen Ayer Hitam ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Sebab Hansard hari ini belum keluar lagi. Saya tunggu hansard keluar, saya akan rujuk Ahli Parlimen Ayer Hitam ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Chong turut mempersoalkan penjelasan daripada Presiden MCA itu apabila mendakwa bahawa KKDW mungkin mendapat kelulusan Kementerian Kewangan (MOF), sedangkan timbul dakwaan kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan masih belum menerima bayaran.
Beliau berkata, isu itu dibangkitkan susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 1 September lalu yang melahirkan rasa tidak puas hati kerana masih terdapat kontraktor yang telah melaksanakan kerja mengikut kemajuan ditetapkan dalam kontrak, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), tetapi berdepan kelewatan pembayaran.
Beliau mendakwa, pada 2023, peruntukan JALB berjumlah RM1.1 bilion, tetapi perbelanjaan sebenar mencecah RM1.8 bilion.
Pada 2024, katanya, peruntukan RM1.3 bilion meningkat kepada perbelanjaan sebenar RM2 bilion, manakala pada 2025, peruntukan RM1.6 bilion mencatatkan perbelanjaan sebenar RM2.3 bilion.
“Jadi kita nak tanya, adakah peruntukan tambahan ini telah dibayar terlepas dapat kelulusan MOF? Wee Ka Siong cakap sudah dapat kelulusan baru dia bayar.
“Tapi kalau sudah dapat kelulusan, macam mana boleh ada kontraktor yang belum buat kerja, belum bayar lagi? Ini bermakna walaupun peruntukan sudah habis, kerja ataupun kontraktor masih dilakukan kerja dan dia tak dapat bayaran. Kenapa? Kerana peruntukan telah pun habis,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ka Siong menjelaskan bagaimana kontraktor masih didakwa belum menerima bayaran sedangkan perbelanjaan bagi projek berkenaan sudah melebihi peruntukan asal.
Dalam masa yang sama, beliau mendesak Ka Siong supaya mengemukakan penjelasan berasaskan fakta berhubung isu itu dan tidak mempertahankan kenyataan yang dipertikaikan.
Chong juga menempelak Ka Siong supaya tidak menjadi ejen untuk mempertahankan Zahid dalam isu tersebut.
Semalam sewaktu membahaskan Belanjawan 2027, Wee dilapor sebagai berkata bahawa lebihan perbelanjaan tidak semestinya satu kesalahan sekiranya mendapat kelulusan MOF, selain membangkitkan kemungkinan perbelanjaan berkenaan dimasukkan dalam bajet tambahan. – MalaysiaGazette


