IPOH – Murid di negeri Perak digalakkan untuk memakai pelitup muka ketika hadir ke sekolah sebagai langkah berjaga-jaga susulan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dalam kenyataan memaklumkan semua sekolah di negeri ini akan beroperasi seperti biasa pada Jumaat.
Katanya, bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga yang bimbang terhadap tahap kesihatan anak masing-masing akibat keadaan jerebu boleh memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah.
“Murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu semasa,” menurut kenyataan itu, pada Khamis.
Katanya lagi, ibu bapa atau penjaga yang memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah susulan jerebu diminta memaklumkan ketidakhadiran berkenaan kepada pihak sekolah.
JPN Perak turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta mematuhi nasihat pihak berkuasa berhubung keadaan jerebu.
“Jabatan sentiasa mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga sekolah,” katanya lagi.
Media melaporkan sebanyak 36 stesen pemantauan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kategori Tidak Sihat setakat jam 1 tengah hari Khamis.
Menurut data terkini portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), stesen Pegoh Ipoh di negeri ini mencatat peningkatan bacaan IPU tertinggi dalam tempoh sejam lalu apabila naik 11 mata daripada 136 pada jam 12 tengah hari kepada 147.
Dilaporkan, sementara di Stesen Tasek Ipoh pula mencatat peningkatan kepada 146, manakala Tanjung Malim merekodkan bacaan 172. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jerebu: Kes jangkitan pernafasan, lelah dan radang mata meningkat


