KPM kembali ikut pelan jerebu kebangsaan, sekolah tutup apabila IPU 200

KUALA LUMPUR – Semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, manakala sekolah ditutup serta-merta apabila bacaan mencecah 200, menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk kembali menggunakan ketetapan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) selepas mengambil kira pandangan agensi berkaitan, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas KPM meneliti pelbagai pandangan berhubung ambang bacaan IPU yang perlu dijadikan asas untuk menutup sekolah ketika jerebu.

Fadhlina berkata, tindakan menangani jerebu tidak boleh disamakan pada setiap tahap bacaan IPU kerana masing-masing mempunyai langkah pengurusan dan tahap risiko tersendiri.

“Contohnya, apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Anak-anak tak perlu keluar untuk bersukan atau buat aktiviti di padang. Langkah ini untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu, walaupun risiko kesihatan masih ada.

“Apabila IPU mencecah 200, sekolah ditutup serta-merta,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, PTJK bukan pelan baharu, sebaliknya panduan sedia ada di peringkat kebangsaan yang perlu dijadikan rujukan dalam pengurusan jerebu.

Sehubungan itu, katanya, KPM memanggil semula agensi berkaitan untuk mendapatkan pandangan dan menilai semula keputusan berhubung pengoperasian sekolah ketika keadaan jerebu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2026.

Menurut Fadhlina, pengurusan isu berkenaan memerlukan kepakaran pelbagai agensi, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dalam aspek kesihatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkaitan kualiti udara serta NADMA dalam pengurusan bencana.

Beliau berkata, KPM turut mengambil kira kebimbangan ibu bapa mengenai kesihatan anak-anak, khususnya mereka yang menghidap asma, mempunyai masalah pernafasan atau lebih mudah terjejas akibat jerebu.

“Sebab itu kita tambah satu lagi kelonggaran. Kalau ibu bapa rasa keadaan jerebu boleh menjejaskan kesihatan anak, mereka dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Cuma maklumkan kepada pihak sekolah,” katanya.

Fadhlina berkata, pihaknya memahami setiap keluarga mempunyai keadaan dan cabaran berbeza, termasuk ibu bapa yang perlu bekerja serta kesukaran menguruskan anak apabila sekolah ditutup secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan berkaitan penutupan sekolah perlu mengambil kira aspek kesihatan murid dan keperluan memastikan pembelajaran mereka tidak terus terganggu.

Katanya, pengalaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menunjukkan cabaran besar untuk mendapatkan semula pembelajaran yang tertinggal.

“Saya faham tidak semua orang akan bersetuju dengan setiap keputusan. Apa yang boleh dipastikan, setiap kebimbangan akan terus didengar dan keputusan akan dibuat dengan merujuk mereka yang mempunyai kepakaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI