IPOH – Pekebun di Bukit Bangkong, Chemor, di sini, resah apabila kebun buah-buahan mereka diceroboh gajah liar sebanyak tiga kali sejak September lalu, mengakibatkan kerosakan teruk pada tanaman.
Kejadian terbaharu berlaku pada 11 Oktober lalu menyaksikan haiwan berkenaan memasuki kawasan kebun hingga ke puncak bukit, serta menjejaskan usaha pekebun yang mengusahakan tanaman bagi menampung bekalan makanan.
Wakil pekebun, Abdul Rahim Ahmad, 65, berkata, kejadian itu mengakibatkan mereka kini resah dan bimbang sekiranya kejadian sama berulang dan mengakibatkan kerugian lebih besar.

Menurutnya, dia telah membuat laporan polis selepas kejadian pertama untuk dirujuk kepada Jabatan Perhutanan Negeri, selain menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Lebih daripada 40 pokok kelapa dan nangka terjejas di kebun saya, manakala kebun berhampiran turut mengalami kerosakan.
“Kerugian sebenar sukar ditaksirkan kerana kami turut menanggung kos kemudahan pertanian, selain modal dan tenaga yang sudah dilaburkan untuk mengusahakan dusun,” katanya ketika ditemui di Bukit Bangkong, Chemor, di sini, pada Jumaat.

Abdul Rahim berkata, dia tidak menolak kemungkinan gangguan pada habitat asal haiwan itu menjadi antara punca kepada masalah gangguan mamalia itu di kebun mereka sejak tiga bulan lalu.
“Selain tumbuhan, gajah liar yang menceroboh turut menjejaskan barangan pertanian lain termasuk baja dan paip untuk pengairan di kebun,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, seorang lagi wakil pekebun, Omar Abdullah, 70, berkata, kira-kira 12 lot kebun seluas 9.71 hektar terjejas akibat pencerobohan haiwan liar berkenaan.
Katanya, kejadian itu bukan sahaja menjejaskan hasil pertanian, malah turut memberi kesan kepada semangat pekebun untuk meneruskan usaha mereka.

“Tanah ini diberikan kerajaan untuk diusahakan, begitu juga benih yang dibekalkan Jabatan Pertanian, jadi kami berharap ada pihak yang dapat membantu menangani masalah ini.
Omar berkata, PERHILITAN juga sudah melakukan pemantauan selepas menerima aduan pekebun dan memberikan panduan berkaitan keselamatan serta tindakan susulan, termasuk urusan tuntutan ganti rugi.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Perak, Dr. Pazil Abdul Patah, ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima aduan berhubung kejadian itu dan melaksanakan kawalan di kawasan terbabit.
“PERHILITAN telah membuat kawalan dan jika berpeluang, kami akan cuba menangkap gajah liar berkenaan,” jelasnya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


