Upacara perkahwinan sivil tak boleh disamakan dengan ritual keagamaan – JPN

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan, upacara perkahwinan sivil oleh pihak yang diberi kuasa di bawah undang-undang tidak boleh disamakan dengan pelaksanaan ritual keagamaan.

Jabatan itu berkata, kuasa tersebut termaktub di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164] dan ia tidak melibatkan pengambilalihan peranan pemimpin agama.

Justeru, JPN menyeru semua pihak agar menghormati peruntukan undang-undang negara dan tidak menjadikan perbezaan antara urusan sivil dengan amalan keagamaan sebagai asas kepada penyebaran dakwaan yang tidak tepat atau mengelirukan masyarakat.

“Kerajaan sentiasa menghormati kebebasan beragama serta kepelbagaian adat dan budaya masyarakat Malaysia.

“Pada masa yang sama, pematuhan kepada undang-undang perkahwinan sivil adalah penting bagi memastikan hak dan kepentingan pasangan, anak-anak serta institusi keluarga terus terpelihara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

JPN menjelaskan demikian selepas tular video lama yang memaparkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan upacara perkahwinan sivil pasangan bukan Islam.

Agensi itu kemudian memaklumkan, penularan video itu telah dijelaskan secara rasmi pada 25 Oktober 2025 yang mana ia merupakan sebahagian pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023.

Agensi itu selanjutnya menyatakan, pihaknya akan terus memastikan setiap urusan perkahwinan sivil dilaksanakan secara teratur, profesional dan berlandaskan undang-undang, dengan tetap menghormati kepelbagaian agama, adat dan budaya di negara ini.

JPN turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa memahami fakta dan peruntukan undang-undang yang berkaitan sebelum membuat sebarang tafsiran atau menyebarkan maklumat, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama.

Menurutnya, dalam konteks perkahwinan bukan Islam di Malaysia, penting untuk membezakan antara pelaksanaan upacara keagamaan dengan pengupacaraan serta pendaftaran perkahwinan sivil seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 164.

“Setiap agama mempunyai upacara, adat dan amalan perkahwinan masing-masing, sama ada Buddha, Kristian, Hindu atau agama lain.

“Pelaksanaan ritual keagamaan tersebut merupakan urusan penganut dan pemimpin agama masing-masing, selaras dengan kepercayaan serta amalan agama berkenaan,” ujarnya.

Menurut JPN, dari sudut undang-undang negara pula, perkahwinan pasangan bukan Islam yang tertakluk kepada Akta 164 hendaklah dilaksanakan dan didaftarkan mengikut peruntukan yang ditetapkan bagi memastikan status perkahwinan diiktiraf secara sah.

Jelasnya, Akta 164 memperuntukkan kuasa kepada Pendaftar Perkahwinan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik untuk mengupacarakan serta mendaftarkan perkahwinan sivil.

Kata jabatan itu, perkahwinan boleh dilaksanakan di pejabat JPN atau di rumah ibadat dan persatuan melalui Penolong Pendaftar Perkahwinan yang diberi kuasa, tertakluk kepada syarat dan prosedur undang-undang yang berkuat kuasa.

Oleh yang demikian, JPN akan terus memastikan setiap urusan perkahwinan sivil dilaksanakan secara teratur, profesional dan berlandaskan undang-undang, dengan tetap menghormati kepelbagaian agama, adat dan budaya di negara ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI