Waze beri ancaman tinggi kepada negara, data terikat undang-undang Israel

CYBERJAYA – Penggunaan aplikasi navigasi Waze mendatangkan risiko keselamatan yang tinggi kepada negara, susulan terma perkhidmatan baharu platform itu yang tertakluk di bawah undang-undang Israel.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata kajian pihaknya pada 1 Ogos, mengenal pasti potensi penyalahgunaan data lokasi serta corak pergerakan harian rakyat Malaysia oleh pihak luar.

“Bila data-data tersebut terikat kepada undang-undang Israel, kita perlu melaksanakan satu langkah proaktif supaya data-data rakyat Malaysia tidak terdedah especially dalam konteks pergerakan-pergerakan navigasi yang digunakan oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam taklimat mengenai isu-isu semasa keselamatan negara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah MKN Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Megat Zuhairy berkata lonjakan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI), meningkatkan lagi risiko berkenaan sekiranya data  itu jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab, sekali gus menjadi ancaman kepada negara.

“Kalau kita lihat daripada trend sekarang, terutamanya kemajuan teknologi AI, data-data yang kita serahkan boleh diguna pakai bagi tujuan baik untuk meningkatkan efisiensi dan sebagainya.

“Tapi sekiranya data tersebut terdedah atau diperoleh oleh pihak penjenayah, ancamannya pada pandangan saya dengan teknologi AI sekarang amat tinggi,” katanya.

Beliau berkata pemetaan lokasi, arah perjalanan dan rutin harian penjawat awam secara terperinci menerusi aplikasi Waze berupaya dijejak oleh entiti asing, sekali gus berpotensi menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.

Meskipun larangan penggunaan Waze ketika ini hanya terpakai kepada penjawat awam, beliau menyarankan agar seluruh rakyat Malaysia turut mengambil langkah proaktif melindungi data peribadi, kerana keselamatan siber merupakan tanggungjawab bersama.

“Kalau kita berikan data kepada orang yang kita tidak percayai, termasuk dalam konteks ini dimiliki oleh negara yang kita tidak iktiraf dan mempunyai hasrat-hasrat yang boleh memberi ancaman kepada negara secara keseluruhannya, saya menyarankan bahawa semua rakyat Malaysia untuk uninstall Waze dan tidak menggunakan Waze secara keseluruhannya,” katanya.

Menerusi surat edaran bertarikh 20 Okt, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan larangan penggunaan aplikasi Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta, bagi membendung risiko kebocoran maklumat kerajaan.

Sebagai alternatif, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI