KUALA TERENGGANU – Adinda Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, iaitu Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mangkat pada 1.20 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Mohd Sophian Abu Bakar, jenazah Tengku Baderul Zaman akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 1.15 tengah hari ini dengan menggunakan pesawat khas.
Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail akan menyambut jenazah Allahyarham di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.
Jenazah akan dibawa ke Balai Islam untuk penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Makam DiRaja Masjid Al-Muktafi Billah Shah.
Sultan Mizan menitahkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula hari ini dengan pemakaian songkok berlilit kain putih seinci bagi lelaki Islam, lelaki bukan Islam (memakai seinci lilitan kain putih pada songkok, selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan baju sebelah kiri dan tali leher hitam), perempuan Islam (tudung putih) dan perempuan bukan Islam (selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan).
Majlis tahlil akan diadakan selama tiga malam berturut-turut di Balai Islam, Istana Syarqiyyah, di sini bermula malam ini. – BERNAMA


