Kerajaan lancar NCLAP30, gerakkan 429 ikhtiar tangani kos sara hidup

MELAKA – Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) yang menggariskan 429 ikhtiar menerusi 35 strategi bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh dalam tempoh lima tahun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelan tindakan itu memberi tumpuan kepada dua keutamaan, iaitu meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat dan menstabilkan harga barangan serta perkhidmatan asas.

Menurutnya, NCLAP30 menjadi kerangka tindakan nasional untuk menyelaraskan pelaksanaan dasar, program dan inisiatif berkaitan kos sara hidup merentasi kementerian serta agensi kerajaan.

“Sebanyak 35 strategi dan 429 ikhtiar sara hidup telah digariskan, meliputi penerusan dan penambahbaikan inisiatif sedia ada serta pengenalan program baharu.

“Ia digerakkan merentasi pelbagai kementerian dan agensi termasuk melalui kerjasama rakan strategik,” katanya pada sidang media pada Program Sentuhan Kasih Madani dan NCLAP30 di pekarangan Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menunjukkan dokumen dinamik Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) yang menggariskan 429 ikhtiar menerusi 35 strategi bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh dalam tempoh lima tahun akan datang selepas merasmikan Peluncuran Program Sentuhan Kasih Madani dan NCLAP30 di pekarangan Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pelan itu dibangunkan selaras dengan hala tuju dasar utama negara termasuk Kerangka Ekonomi Madani, selain menjadi antara strategi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Sebagai sebuah dokumen dinamik, NCLAP30 akan sentiasa ditambah baik dengan pengukuhan strategi dan pelbagai program yang akan diperkenalkan dari semasa ke semasa.

“Pendekatan ini memastikan pelan kekal relevan dan responsif terhadap perubahan keadaan sosioekonomi, keperluan rakyat serta cabaran domestik dan global yang mempengaruhi kos sara hidup,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan NCLAP30 memerlukan penyelarasan bersepadu bagi memastikan setiap program dan inisiatif yang dirancang memberikan hasil optimum kepada rakyat.

Sehubungan itu, katanya, peranan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diperkasakan bagi memantau serta meneliti pelaksanaan semua program berkaitan ikhtiar sara hidup oleh kementerian dan agensi.

Keputusan memperkasakan peranan NACCOL itu dibuat menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bilangan 2/2026 pada 29 September lalu.

Beliau berkata, kejayaan pelan itu turut bergantung kepada kerjasama dan penglibatan semua pihak menerusi pendekatan whole-of-nation atau penggemblengan usaha seluruh negara bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI