Pemilik ‘dashcam’ diminta tampil bantu siasatan kes kemalangan babit dua wartawan di Ipoh

IPOH – Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang berjaya merakam kemalangan membabitkan sebuah kereta dinaiki dua wartawan dengan sebuah lori di Jalan Ipoh–Lumut, berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kledang Permai, di sini, awal pagi tadi diminta tampil bagi membantu siasatan polis.

Insiden yang berlaku sekitar jam 5.45 pagi itu telah menyebabkan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.38 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki kedua-dua wartawan terbabit dalam perjalanan dari arah Meru menghala ke Bagan Datuk.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta Perodua Bezza yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang datang dari arah sama.

“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan berpusing di atas jalan raya, manakala lori terbabit terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seramai tiga mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai dashcam diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan,“ ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mengekalkan jarak selamat antara kenderaan serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Difahamkan nahas berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan menuju ke Bagan Datuk bagi tugasan liputan majlis perasmian program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk di Tapak Pasar Malam Bagan Datuk.

Program dijadualkan bermula jam 8.30 pagi itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selain Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Kedua-dua wartawan terbabit bagaimanapun telah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di HRPB di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan rasa simpati terhadap musibah yang menimpa kedua-dua wartawan terbabit menerusi hantaran di Facebook masing-masing. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Wartawan Bernama, NST cedera terbabit kemalangan di Ipoh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI