Lonjakan penumpang antarabangsa LTSAS, Perak perlu rebut peluang

IPOH – Peningkatan penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) sebanyak 16.6 peratus pada September 2026 membuka peluang kepada Perak untuk memperluas pasaran pelancongan, khususnya menerusi peningkatan kunjungan dari Singapura.
Berdasarkan laporan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) LTSAS merekodkan kira-kira 31,000 penumpang antarabangsa dalam tempoh berkenaan berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus meletakkan lapangan terbang itu antara tiga lapangan terbang di Malaysia yang mencatatkan peningkatan bagi kategori tersebut
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, pertambahan penerbangan dari Singapura, khususnya pada hujung minggu, antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pengunjung ke negeri ini.
Beliau berkata, penerbangan dari Singapura ke Ipoh turut mencatatkan permintaan yang lebih tinggi pada hujung minggu apabila kadar pengisian penumpang boleh mencecah kira-kira 90 peratus.
“Setiap hari ada tiga penerbangan, tetapi hujung minggu ditambahkan kepada empat.
“Pada hujung minggu, kadar pengisian boleh mencecah lebih kurang 90 peratus, manakala pada hari bekerja biasanya kurang sedikit,” katanya Kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.
Gambar Fail: Suasana sekitar Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.
Menurutnya, faktor kos turut berpotensi mempengaruhi keputusan penduduk Singapura untuk berkunjung ke Ipoh, selain kepelbagaian aktiviti dan acara yang dianjurkan di negeri ini.
“Kalau orang Singapura datang ke Ipoh untuk cuti hujung minggu, kadang-kadang lebih murah daripada mereka hidup di Singapura,” katanya.
Perkembangan itu menunjukkan bahawa daya tarikan pelancongan Perak bukan hanya bergantung pada keindahan destinasi, malah turut dipengaruhi kemampuan negeri menawarkan pengalaman percutian yang sesuai dengan keperluan dan perbelanjaan pengunjung.
Perkukuh peranan LTSAS sebagai pintu masuk pelancongan
Dalam konteks pembangunan negeri, perkembangan tersebut membuka ruang untuk memperkukuh peranan LTSAS sebagai pintu masuk pelancongan, dengan manfaatnya diperluas kepada lebih banyak daerah dan komuniti setempat.
Sze Yee berkata, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah usaha menyelaraskan promosi destinasi dengan kemudahan pengangkutan, penyediaan pakej perjalanan serta kerjasama antara kerajaan negeri dengan pemain industri bagi memudahkan pelancong merancang perjalanan sepanjang berada di Perak.
Katanya, ini kerana kekuatan sesebuah destinasi bukan hanya bergantung pada jumlah pengunjung yang tiba, tetapi turut dipengaruhi kepelbagaian pengalaman yang boleh ditawarkan, kemudahan untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain serta kemampuan industri tempatan memenuhi keperluan pelancong.
“Bagi Ipoh, tarikan warisan, seni bina bangunan lama, gastronomi dan lokasi rekreasi boleh menjadi antara produk yang membantu memperkayakan pengalaman pelancong.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 OKTOBER 2026.
“Pada masa sama, peluang itu wajar diperluas ke destinasi lain termasuk Taiping, Kuala Kangsar, Lenggong dan Pulau Pangkor yang mempunyai keunikan tersendiri dari segi warisan, budaya, sejarah serta pelancongan alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan Ipoh berfungsi bukan sekadar sebagai destinasi persinggahan, sebaliknya menjadi pintu masuk kepada rangkaian pengalaman pelancongan yang lebih menyeluruh di seluruh Perak.
Jelasnya, bagaimanapun, usaha berkenaan memerlukan penyelarasan yang baik antara pengangkutan, penginapan, pengendali pelancongan dan pengusaha produk tempatan supaya perjalanan pelancong dapat dirancang dengan lebih mudah dan selesa.
“Bagi pengusaha hotel, restoran, pengangkutan pelancongan serta perusahaan kecil yang menawarkan produk tempatan, pertambahan pelawat berpotensi membuka ruang pasaran lebih luas sekiranya mereka dapat menghubungkan perkhidmatan masing-masing dengan keperluan pelancong.
“Kesan ekonomi itu juga boleh diperluas kepada komuniti yang mengusahakan produk kraf, makanan tradisional, aktiviti rekreasi dan pengalaman berasaskan budaya setempat, sekali gus membuka peluang pendapatan kepada penduduk,” katanya.
Perak teroka laluan udara dan laut tarik pelancong antarabangsa
Bagaimanapun, usaha meningkatkan jumlah penerbangan antarabangsa ke Ipoh masih memerlukan perancangan dan kerjasama pelbagai pihak, khususnya dalam keadaan syarikat penerbangan perlu mempertimbangkan penggunaan pesawat serta keuntungan setiap laluan.
Sze Yee berkata, beliau telah mengadakan usaha bersama agensi berkaitan bagi meneroka peluang menambah laluan antarabangsa, namun pelaksanaan insentif penerbangan menjadi antara cabaran yang perlu ditangani.
Gambar Fail: Suasana sekitar Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.
“Saya tidak kata mustahil, tetapi mungkin menyukarkan sedikit usaha kami untuk menambahkan penerbangan lain selain Singapura ke Ipoh.
“Penambahan penerbangan bukan hanya bergantung pada kemudahan lapangan terbang, sebaliknya perlu disokong oleh produk pelancongan yang mampu menarik permintaan berterusan,” katanya.
Tambahnya, naik taraf LTSAS yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM8 juta pada tahun lalu membantu meningkatkan keselesaan pengguna, namun pertumbuhan permintaan perlu terus dibuktikan bagi menyokong perkembangan seterusnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sze Yee berkata, Perak turut berusaha memperluas akses pelancong antarabangsa menerusi laluan laut apabila kapal persiaran mula berlabuh di Lumut.
Sze Yee berkata, dua pendaratan percubaan kapal persiaran telah dilaksanakan kira-kira dua bulan sebelum temu bual itu, dengan penumpang berpeluang meneruskan perjalanan ke Pulau Pangkor, Ipoh dan destinasi lain.
“Walaupun kita selalu bercakap mengenai lapangan terbang atau pelabuhan udara, itu bukan satu-satunya jalan masuk antarabangsa,” katanya.
“Perak bakal menerima antara 12 hingga 13 lagi kunjungan kapal persiaran dalam tempoh kira-kira enam bulan bermula bulan berikutnya, bergantung pada persediaan perkhidmatan serta kerjasama pihak berkaitan,” katanya.
Jelas beliau, bagaimanapun, kemasukan kapal persiaran secara berterusan memerlukan penyelarasan operasi, termasuk urusan imigresen dan kastam yang ketika ini dilaksanakan secara sementara mengikut jadual ketibaan kapal.
Sze Yee berkata, kejayaan menerima kunjungan kapal persiaran akan menjadi asas untuk membuktikan kemampuan Perak sebelum usaha mendapatkan kemudahan yang lebih kekal dapat dipertimbangkan bersama kerajaan Persekutuan dan sektor swasta.
“Bagi pandangan saya usaha memperluas pasaran antarabangsa penting kerana perbelanjaan pelancong luar negara berpotensi lebih tinggi berbanding pelancong domestik.
“Perbelanjaan seorang pelancong luar negara berbanding domestik adalah lima hingga 10 kali ganda,” katanya.
Justeru, strategi pelancongan Perak perlu bergerak seiring dalam dua aspek, iaitu meningkatkan jumlah pengunjung dan mempertingkatkan kualiti pengalaman yang ditawarkan kepada mereka.
Peningkatan penumpang antarabangsa di LTSAS wajar dijadikan peluang untuk memperkukuh rantaian ekonomi pelancongan, tetapi kejayaannya perlu dinilai melalui manfaat yang benar-benar dirasai oleh pengusaha dan komuniti tempatan.
Gambar Fail: Suasana sekitar Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.
Antara petunjuk yang boleh diberikan perhatian ialah tempoh penginapan, perbelanjaan pelancong, kadar penghunian hotel serta penyertaan perusahaan tempatan dalam penyediaan produk dan perkhidmatan pelancongan.
Pendekatan itu selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk memastikan pembangunan ekonomi negeri memberi manfaat kepada rakyat, termasuk melalui peluasan peluang pekerjaan, pengukuhan perusahaan tempatan dan pembangunan sektor berpotensi tinggi.
Dalam konteks ini, pertumbuhan pelancongan perlu bergerak melangkaui angka ketibaan dengan membina ekosistem yang menghubungkan akses udara dan laut, kepelbagaian acara, tarikan alam semula jadi serta perkhidmatan berkualiti.
Sekiranya usaha itu dapat dilaksanakan secara bersepadu, peningkatan penumpang antarabangsa di LTSAS bukan sekadar menjadi rekod pertumbuhan perjalanan, sebaliknya berpotensi membuka ruang kepada ekonomi pelancongan Perak yang lebih meluas dan mampan menjelang 2030. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI