IPOH – Sebanyak 25 aduan pengguna berhubung petrol RON95 yang disyaki bercampur air diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bagi tempoh 5 hingga 31 Oktober lalu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, aduan berkenaan melibatkan lima daerah iaitu Ipoh, Kuala Kangsar, Taiping, Parit Buntar dan Manjung.
Beliau berkata, sampel petrol dari stesen minyak yang terlibat telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis dan siasatan lanjut.
“Kita telah menerima sebanyak 25 aduan kes pencemaran petrol RON 95 daripada pengguna melibatkan lima daerah di sekitar Perak.
“Setakat ini, KPDN telah ambil sampel dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis bagi mendapatkan keputusan berhubung perkara itu,“ katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan peserta larian PCSH Pink and Purple 5KM Fun Run 2026 anjuran Perak Community Specialist Hospital (PCSH) di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden PCSH, Datuk Lee Hau Hian.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia sebelum tindakan lanjut dapat diambil terhadap kes berkenaan.
“Tempoh untuk memperoleh keputusan itu tidak dapat dipastikan kerana sampel berkenaan perlu melalui prosedur pemeriksaan ditetapkan, sama seperti kes seumpamanya di seluruh negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kamalludin menasihatkan pengguna yang terjejas supaya mengumpulkan maklumat serta bukti berkaitan bagi membolehkan tuntutan dibuat melalui saluran yang bersesuaian.
“Kita sarankan masyarakat yang memperoleh maklumat dan juga bukti-bukti, boleh buat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) atau di Mahkamah Sivil,” jelasnya.
Kamalludin berkata, aduan yang diterima setakat ini hanya membabitkan petrol RON95 dan tidak melibatkan diesel atau RON97. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN gantung, batal lesen stesen minyak salah guna subsidi BUDI MADANI – Armizan


