IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bersama Global Vision Lab Sdn Bhd (GVL) sedang meneroka cadangan pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) berskala besar di Perak dengan kapasiti kuasa yang dirancang melebihi 100 megawatt (MW).
Cadangan itu bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengkomputeran AI, pengkomputeran berprestasi tinggi serta aplikasi berasaskan pemprosesan grafik di Malaysia dan rantau ini.
Sebagai langkah awal, kedua-dua pihak telah menandatangani Perjanjian Kerahsiaan dan Surat Persetujuan bagi membolehkan pertukaran maklumat serta penelitian awal terhadap aspek teknikal, infrastruktur dan potensi komersial projek berkenaan.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq berkata, penerokaan itu selari dengan usaha kerajaan negeri memperluas asas pertumbuhan ekonomi menerusi aktiviti teknologi bernilai tinggi.
“Inisiatif ini menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 dan membuka ruang untuk Perak muncul sebagai destinasi pembangunan infrastruktur digital berteknologi tinggi serta memperkukuh kedudukan negeri dalam ekosistem digital Malaysia dan ASEAN.
“Projek itu berpotensi untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, memperkukuh rantaian bekalan teknologi tempatan serta memperluas penggunaan AI dalam sektor seperti pembuatan dan logistik.
“Pada peringkat ini, PKNPk akan memberi tumpuan kepada penilaian nilai ekonomi yang berpotensi diwujudkan kepada negeri serta peluang penyertaan bakat dan perusahaan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pelaksanaan inisiatif itu, beliau berkata, PKNPk akan menyelaras penglibatan pihak berkepentingan di peringkat negeri, manakala GVL menerajui perancangan pembangunan serta penyelarasan penilaian teknikal dan komersial mengikut peranan serta tanggungjawab yang dipersetujui.
Katanya, ITMAN Service Center (M) Sdn Bhd dan Future Quantum Co Ltd turut disenaraikan sebagai rakan projek, dengan peranan serta sumbangan khusus masing-masing akan diperincikan berdasarkan pengaturan yang dimuktamadkan kelak.
“Penilaian awal akan meliputi kesesuaian tapak, ketersediaan bekalan kuasa, sistem penyejukan, kesalinghubungan rangkaian dan keperluan infrastruktur berkaitan bagi menentukan kebolehlaksanaan pembangunan berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GVL, Y L Lee, berkata, peningkatan permintaan terhadap AI generatif dan pengkomputeran berprestasi tinggi menjadikan infrastruktur digital yang kukuh serta fleksibel semakin penting.
“Peningkatan permintaan terhadap AI generatif dan pengkomputeran berprestasi tinggi menjadikan infrastruktur digital yang kukuh serta fleksibel semakin penting.
“Kerjasama dengan PKNPk dan rakan projek membolehkan kami menilai keperluan yang perlu dipenuhi bagi memastikan cadangan pusat data ini sesuai dengan keperluan pasaran serantau.
“Tumpuan kami sekarang ialah meneliti keperluan operasi dan aspek komersial bagi mengenal pasti model pembangunan yang berdaya maju,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak, Pulau Pinang meterai perjanjian bekalan air terawat pukal selama 40 tahun


