IPOH – Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIP Perak) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) hari ini menandatangani Perjanjian Bekalan Air Pukal (BWSA) yang muktamad, sekali gus mewujudkan kerangka kerjasama selama 40 tahun bagi membekalkan air terawat daripada lebihan sumber air mentah Skim Bekalan Air Utara Perak (NPWSS) ke Pulau Pinang.
PAIP Perak, anak syarikat milik penuh Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP) adalah hasil usaha sama antara Gamuda Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang ditubuhkan bagi membangunkan serta melaksanakan NPWSS bertindak sebagai pembekal air terawat di bawah perjanjian itu, manakala PBAPP merupakan pembeli air terawat.
Perjanjian berkenaan dimeterai susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 6 November 2025 dan memperincikan terma komersial, tanggungjawab operasi serta pengaturan bekalan air jangka panjang antara kedua-dua negeri.
Susulan pelaksanaan perjanjian itu, kedua-dua pihak akan meneruskan proses mendapatkan sokongan kawal selia, termasuk memuktamadkan perjanjian antara Kerajaan Negeri Perak dan KAP susulan Surat Pelantikan bagi NPWSS, pendaftaran dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta pembentangan perjanjian oleh PBAPP untuk kelulusan pemegang saham awamnya.
Pengarah KAP, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, tempoh operasi perjanjian adalah selama 40 tahun bermula daripada penyerahan pertama air terawat yang disasarkan pada suku pertama 2032, tertakluk kepada penyiapan infrastruktur, kelulusan kawal selia dan pematuhan syarat berkaitan.
Menurutnya, di bawah rangka kerja komersial, PBAPP akan membayar Caj Kapasiti tahunan kira-kira RM210 juta bagi menjamin kapasiti rawatan dan pengedaran khusus.
Selain itu, beliau berkata, Caj Bekalan bermula pada kadar RM1.70 bagi setiap meter padu akan dikenakan ke atas air yang dibekalkan dengan mekanisme kenaikan berstruktur bagi memberikan kepastian tarif jangka panjang.
Tambahnya, perjanjian itu mengandungi mekanisme pelarasan kos melibatkan penggunaan elektrik dan bahan kimia bagi memastikan turun naik kos operasi utama dapat diurus secara telus.
“Di bawah perjanjian itu, PAIP Perak akan membekalkan sebanyak 300 juta liter sehari (JLH) seperti yang diluluskan.
“Sebarang peningkatan melebihi jumlah tersebut tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri Perak dan hanya akan dilaksanakan sekiranya lebihan sumber air mentah masih mencukupi selepas memenuhi keperluan negeri.
“Pendekatan itu bertujuan melindungi keselamatan bekalan air jangka panjang Perak di samping memastikan penggunaan optimum infrastruktur air strategik yang dibangunkan bagi menyokong pertumbuhan masa depan.
“Selain memperkukuh kerjasama serantau, perjanjian berkenaan dijangka mewujudkan sumber hasil jangka panjang baharu kepada Perak, merangsang pelaburan, mengembangkan sektor perindustrian serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata,Pembangunan NPWSS juga dijangka mengukuhkan kedudukan Perak sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi mampan dan meningkatkan daya saing serantau di Koridor Utara.
BWSA itu disifatkan sebagai pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur air negara menerusi pelaksanaan NPWSS, selain menyediakan rangka kerja komersial jangka panjang yang menyokong pelaburan strategik dalam sektor air serta mengukuhkan keselamatan bekalan air negara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penangguhan perjanjian air Perak-Pulau Pinang tiada kaitan politik


