IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penangguhan pemeteraian penjualan air terawat antara Perak dengan Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan politik, sebaliknya melibatkan urusan perniagaan antara dua entiti.
Menurutnya, perjanjian itu dilaksanakan secara perniagaan ke perniagaan (B2B) membabitkan entiti perniagaan Khazanah Air Perak (KAP) iaitu syarikat usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak bersama Gamuda Berhad JV (PKNPk-Gamuda JV) dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP).
“Mereka (PKNPk-Gamuda JV) yang akan berunding dan membuat perjanjian dengan PBAPP. Tidak ada kena-mengena dengan politik. Ini cerita air sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Mengulas perkembangan perjanjian tersebut, Saarani berkata, pemeteraian yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan atas permintaan kerajaan Pulau Pinang.
“Sepatutnya, mengikut tarikh asal yang saya dimaklumkan adalah pada 10 hari bulan, iaitu hari Jumaat lalu.
“Tetapi saya dimaklumkan bahawa pihak kerajaan Pulau Pinang minta tangguh sedikit, barangkali ada perkara yang hendak diperhalusi. Pihak Pulau Pinang yang meminta tangguh, bukan KAP,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa butiran lanjut mengenai harga air yang dipersetujui dalam rundingan berkenaan, tidak boleh diumumkan selagi ia belum dimuktamadkan.
“Kita tidak boleh hendak umumkan selagi mana perjanjian itu tidak keluar (dimuktamadkan),” jelasnya.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, majlis pemeteraian perjanjian itu dijangka berlangsung di Ipoh, Perak, namun, masih tertakluk kepada pemuktamadan rundingan terakhir antara kedua-dua pihak iaitu kerajaan Perak dan Pulau Pinang ketika ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


