BATU GAJAH – Kerinduan untuk bersama dengan keluarga antara perkara yang amat dinantikan 58 bekas banduan yang menerima perkenan pengampunan dan pembebasan awal Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-70, pada Jumaat.
Lebih bermakna, pembebasan itu membolehkan mereka kembali ke pangkuan keluarga untuk menyambut Deepavali yang bakal diraikan Ahad ini, selepas beberapa tahun terpaksa merayakan pesta cahaya di sebalik tirai besi.

Bagi Thilagan, 36, yang sudah tiga tahun tidak menyambut Deepavali bersama keluarga, peluang pulang ke rumah di Teluk Intan membawa kegembiraan berganda apabila dapat meraikan ulang tahun kelahiran ibunya yang ke-73 pada Ahad.
Dia yang sepatutnya menamatkan hukuman pada Disember tahun ini selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya berkata, kepulangan itu seolah-olah menjadi doa yang dimakbulkan selepas sekian lama mengharapkan peluang untuk bersama keluarga.
“Semalam saya bercakap dengan mak melalui panggilan telefon, dan dia beritahu mahu masak sayur dan ikan pari sambal, tetapi untuk Deepavali, dia hidangkan saya masakan kari kambing.
“Saya memang terharu kerana sebelum ini terfikir tidak lagi berpeluang menyambut Deepavali bersama keluarga, tetapi tidak sangka dapat bebas dari penjara awal iaitu sebelum perayaan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak 2026 di Pusat Koreksional dan Pemulihan Akhlak Batu Gajah, di sini, pada Jumaat.
Seramai 37 banduan dari Pusat Koreksional dan Pemulihan Akhlak Batu Gajah menerima kurniaan pengampunan dan pembebasan awal daripada Sultan Nazrin dengan majlis disaksikan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia, Rosoman Abu Bakar @ Che Din.

Thilagan yang juga bapa tunggal kepada seorang anak berkata, perkara pertama yang ingin dilakukannya sebaik bertemu adalah mahu memohon maaf atas segala kesilapan yang pernah dilakukan sehingga membuatkan dirinya terjerumus ke kancah penyalahgunaan dadah.
“Saya mahu pegang kaki emak dahulu dan minta maaf kerana banyak kali menyakitkan hatinya sebelum ini.
“Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkaitan dadah kerana sudah berusia 36 tahun dan tidak mahu terus keluar masuk penjara sehingga usia 60 tahun,” katanya.

Sementara itu, bekas banduan, Siva, 33, mengakui terkejut apabila dimaklumkan menerima perkenan pembebasan awal daripada Sultan Nazrin sedangkan tarikh tamat hukumannya dijadualkan pada 2 Disember ini.
Selepas hampir empat tahun tidak menyambut Deepavali bersama keluarga atas kesalahan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya, peluang itu disifatkannya sebagai ruang untuk memperbaiki kehidupan.

“Saya memang mahu berubah selepas bebas dan tidak mahu lagi kembali ke penjara. Sepanjang berada di sini, banyak perkara saya pelajari termasuk mendalami ilmu agama, kawad kaki dan kemahiran menjahit yang memberikan pengalaman baharu kepada saya,” katanya.
Anak keempat daripada lima beradik dari Taiping itu berkata, dia sememangnya tidak sabar untuk menikmati kari kambing dan muruku selain mengunjungi kuil bersama keluarga sempena perayaan Deepavali.

Bagi seorang lagi bekas banduan yang mahu dikenali sebagai Along, 28, peluang kembali ke pangkuan keluarga turut menjadi tekad dirinya untuk membina kehidupan lebih baik selepas melalui tempoh hukuman sejak 2023.
“Kalau boleh, saya mahu cari kerja jauh sedikit daripada tempat asal supaya lebih mudah menjaga diri dan tidak kembali kepada kehidupan dahulu seperti yang dipesan mak dan ayah.
“Saya juga ada mempelajari kemahiran berkaitan pengurusan acara sepanjang berada di sini, termasuk memasang khemah serta menyediakan meja untuk sesuatu program. Kemahiran ini boleh digunakan saya untuk memperbaiki kehidupan,” katanya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Hari keputeraan: Sultan Perak perkenan pembebasan awal 58 banduan


