Dua kajian punca perkahwinan bawah umur siap awal tahun depan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang bekerjasama dengan United Nations Children’s Fund (UNICEF) Malaysia bagi melaksanakan Kajian Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020-2025.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada masa sama, KPWKM melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) sedang melaksanakan Kajian Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia: Faktor Risiko, Faktor Pelindung dan Strategi Pencegahan.

Menurutnya, kajian berkenaan direka bentuk untuk menilai pelaksanaan strategi oleh agensi yang terlibat, mengenal pasti faktor risiko dan faktor pelindung serta meneliti jurang pelaksanaan dan langkah pencegahan yang perlu diperkukuh.

“Hasilnya kelak akan digunakan untuk menentukan tindakan susulan yang lebih berfokus dan berasaskan bukti.

“Kedua-dua kajian ini dijangka selesai awal tahun 2027 dan oleh itu, KPWKM berpandangan adalah lebih wajar untuk kerajaan mengemukakan dapatan muktamad setelah hasil kajian tersebut diperoleh dan diteliti lanjut,” katanya pada Sesi Pemberitahuan Pertanyaan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta menyatakan dapatan utama penilaian Pelan Strategi Kebangsaan 20202025, tindakan susulan untuk menangani perkahwinan kanak-kanak serta pelaburan khusus Kerajaan untuk memajukan pendidikan, perlindungan, kesejahteraan, dan penyertaan bermakna kanak-kanak perempuan, selaras tema Hari Kanak-Kanak Perempuan Antarabangsa 2026 “End child marriage and invest in girls’ rights!”.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, setelah kedua-dua kajian dimuktamadkan, KPWKM akan menggunakan dapatan tersebut untuk mengenal pasti jurang pelaksanaan, menetapkan keutamaan tindakan susulan bersama agensi berkaitan dan meneliti keperluan sumber secara lebih khusus.

Dengan cara itu katanya, usaha pencegahan perkahwinan kanak-kanak dapat disokong oleh tindakan yang memenuhi keperluan pendidikan, perlindungan, kesejahteraan dan penyertaan kanak-kanak perempuan selaras dengan tema Hari Kanak-Kanak Perempuan Antarabangsa 2026.

“Sementara kajian berkenaan dijalankan, usaha menangani perkahwinan kanak-kanak tetap diteruskan oleh KPWKM melalui Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026–2030.

“Dari segi pelaburan khusus kerajaan dalam hak kanak-kanak perempuan, tumpuan merangkumi akses dan pengekalan mereka dalam pendidikan, maklumat serta perkhidmatan kesihatan yang bersesuaian, perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi, serta sokongan kepada keluarga yang menghadapi kesukaran sosioekonomi.

“Bidang-bidang ini penting untuk mengurangkan faktor yang boleh meningkatkan risiko perkahwinan kanak-kanak dan KPWKM juga akan mengambil kira pandangan dan pengalaman kanak-kanak perempuan dalam merancang serta menambah baik tindakan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI