IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke ke Majlis Sambutan Deepavali 2026 Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada 2.30 petang disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan sumbangan kepada 69 anak yatim daripada Pertubuhan Sinar Cahaya Anak-Anak Yatim Larut Matang dan Selama dan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Rumah Visi (Vision Home) Ipoh.

Turut menerima sumbangan, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Berjasa Kinta, Pertubuhan Pengurusan Pusat Jagaan 1 Malaysia, Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul dan Yayasan Amanah An-Nur Maisarah.
Kira-kira 15,000 rakyat terdiri daripada pelbagai kaum dan agama hadir memeriahkan majlis tahunan anjuran kerajaan negeri itu.
Pelbagai jenis makanan dan kuih muih tradisi masyarakat India antaranya idli, puri, vadai dan putu mayam serta makanan tradisi pelbagai kaum lain turut disajikan bagi meraikan majlis tersebut.
Selain itu, pelbagai persembahan kebudayaan meliputi tarian dan nyanyian tradisi masyarakat pelbagai kaum turut dipersembahkan pada majlis tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Agong, Permaisuri zahir ucapan Deepavali


