Semangat muhibah warnai Majlis Sambutan Deepavali peringkat negeri Perak

IPOH – Majlis Sambutan Deepavali Tahun 2026 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini, hari ini bukan sahaja menjadi medan meraikan kebudayaan masyarakat India, malah turut membuka ruang kepada masyarakat berbilang kaum untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Kira-kira 15,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum mengambil peluang cuti hujung minggu untuk singgah memeriahkan sambutan rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri Perak ini.

Semangat muhibah warnai Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak
Pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum hadir ke Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 NOVEMBER 2026.

Pekerja swasta, N Yogarajah, 45, yang bekerja di Pulau Pinang berkata, dia mengambil kesempatan menghadiri majlis berkenaan bersama ahli keluarganya untuk menghabiskan baki cuti seminggu yang diambilnya sempena perayaan pesta cahaya itu.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai penganjuran majlis itu menerusi TikTok sebelum mengambil keputusan membawa keluarganya untuk turut serta.

“Saya lihat majlis seperti ini bukan sahaja orang India yang datang tetapi ada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, Punjabi turut datang bersama-sama berkumpul di sini.

Semangat muhibah warnai Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak
Temubual N Yogarajah, 45, pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 NOVEMBER 2026.

“Kita juga disajikan dengan makanan yang enak secara percuma, jadi selain boleh berkumpul, kita boleh tengok persembahan seperti tarian tradisional masyarakat India,” katanya.

Peniaga pasar borong, Darus Hamzan, 50, berkata, hubungan persahabatan dengan masyarakat pelbagai kaum di Ipoh menjadi antara sebab dia hadir ke majlis tersebut bersama isteri dan anak-anak.

Katanya, majlis rumah terbuka seumpama itu bukan perkara baharu baginya kerana sudah lima kali menghadiri program sama pada perayaan kaum lain.

Semangat muhibah warnai Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak
Temubual Darus Hamzan, 50, pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 NOVEMBER 2026.

“Makanan, minuman disajikan dengan keadaan teratur dan pantas. Semuanya sedap. Saya berkesempatan makan apam balik, cendol, air dan kuin muih.

“Bagi saya, acara seperti ini perlu diteruskan setiap tahun kerana semua kaum boleh datang dan secara tidak langsung dapat mengeratkan perpaduan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Joy Christina, 43, yangturut  hadir bersama keluarga, pengalaman menyertai sambutan rumah terbuka itu buat pertama kali menjadi peluang untuk membawa anaknya menikmati suasana kemeriahan perayaan.

“Saya datang rumah terbuka ini sebab anak saya dia suka pergi tempat yang meriah-meriah macam ini. Ada joget-joget apa semua. Kami rasa apa salahnya waktu perayaan Deepavali ini kita sertai sekali.

“Servis di gerai makanan dan minuman juga sangat baik. Tepat jam 2 petang, semua dah buka. Saya rambang mata untuk pilih pelbagai jenis makanan yang disediakan di sini,” katanya yang bekerja sebagai jururawat.

Dia berharap tradisi rumah terbuka sempena perayaan pelbagai kaum diteruskan kerana ia memberi peluang kepada masyarakat untuk saling mengenali dan meraikan kepelbagaian budaya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sejarah kemakmuran, kemajuan Perak cerminan kerjasama masyarakat berbilang kaum – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI