Sejarah kemakmuran, kemajuan Perak cerminan kerjasama masyarakat berbilang kaum – Saarani

IPOH – Kemakmuran dan kemajuan yang dikecapi negeri Perak hari ini adalah hasil kerjasama, pengorbanan serta sumbangan masyarakat berbilang kaum yang bersama-sama membangunkan negeri ini sejak dahulu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sejarah pembangunan negeri itu tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan generasi terdahulu, termasuk masyarakat India yang memainkan peranan penting dalam membina asas kemajuan Perak.

“Sejarah negeri Perak sendiri memperlihatkan bagaimana masyarakat daripada pelbagai keturunan telah bersama-sama menyumbang tenaga, usaha dan kebijaksanaan dalam membina kemakmuran negeri ini.

“Sejarah ini tidak akan lengkap tanpa kisah generasi awal masyarakat India yang membuka ladang, membina landasan kereta api, jalan raya dan pelabuhan dengan keringat dan kepayahan yang bukan sedikit,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak 2026 di Stadium Indera Mulia, di sini pada Ahad.

Sejarah kemakmuran Perak cerminan kerjasama masyarakat berbilang kaum - Saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 NOVEMBER 2026.

Saarani berkata, di sebalik kemajuan yang dinikmati generasi masa kini terpahat kisah-kisah pengorbanan generasi terdahulu yang bekerja keras untuk membina kehidupan yang lebih baik buat keluarga mereka.

“Ada yang menghabiskan usia di ladang-ladang, ada yang membina kehidupan dengan berniaga kecil-kecilan dan ada pula yang mencurahkan bakti sebagai pendidik, penjawat awam serta tenaga profesional.

“Setiap titik keringat dan jerih payah mereka telah merakam kisah pengorbanan yang kekal dalam lembaran sejarah pembangunan negeri ini,“ ujarnya.

Katanya, sejak dahulu, masyarakat hidup berjiran, mencari rezeki, membesarkan anak-anak, berkongsi suka duka dalam suasana saling menghormati dan daripada keakraban inilah berputiknya persefahaman serta persaudaraan yang memaut hati rakyat negeri ini.

“Sesungguhnya, keharmonian yang kita nikmati hari ini berakar daripada sejarah yang panjang. Ia terbina daripada kesabaran, sikap bertolak ansur dan kebijaksanaan generasi terdahulu yang memilih untuk hidup bersama dalam damai, meskipun berbeza keturunan, kepercayaan dan budaya,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan meriahkan majlis sambutan Deepavali peringkat negeri Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI