GERIK – Seorang Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) maut selepas dipercayai terkena kabel telekomunikasi yang tertanggal daripada tiang dalam kejadian di Kilometer 71.4, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, di sini, semalam.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohammed Fitri Aslam Mohamed Jamaludin, 41, yang bertugas di JKR Daerah Hulu Perak.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati, kejadian sekitar jam 1.30 petang itu dipercayai berpunca daripada kabel Telekom Malaysia (TM) yang tersangkut pada sebuah lori ketika kerja-kerja penurapan semula jalan sedang dijalankan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, ketika kerja penyelenggaraan sedang dijalankan, sebuah lori membawa muatan tar telah mengangkat bahagian badan muatannya (dump body) untuk menurunkan tar ke atas permukaan jalan.
“Selepas selesai menurunkan muatan, bahagian dump body lori berkenaan dipercayai tersangkut pada kabel TM yang merentangi jalan ketika diturunkan semula ke kedudukan asal.
“Keadaan itu menyebabkan kabel berkenaan tertarik, menjadi kendur dan berjuntai pada paras lebih rendah daripada kedudukan asal,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, sebelum kabel berkenaan sempat dikeluarkan, sebuah treler jenis Hino yang membawa muatan mesin padi dari arah Gerik menghala ke Kuala Kangsar melalui kawasan terbabit.
“Bahagian atas muatan treler itu kemudian dipercayai tersangkut pada kabel berkenaan sehingga menyebabkan ia tertarik dan tertanggal daripada tiang.
“Kabel yang terputus itu dipercayai terkena mangsa yang berada di lokasi kejadian sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,“ katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan treler berkenaan ditahan bagi membolehkan pemeriksaan teknikal dijalankan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
“Polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta merakam gambar kawasan dan kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan,“ ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Samad menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan keselamatan serta peka terhadap keadaan persekitaran, khususnya ketika melalui kawasan kerja-kerja penyelenggaraan jalan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


