Sultan Nazrin ingatkan kemajuan perlu pedoman agar tidak melunturkan nilai kemanusiaan

KUALA KANGSAR – Kemajuan perlu berpandukan pedoman supaya pembangunan mampu membawa kesejahteraan seiring perubahan zaman tanpa melunturkan nilai kemanusiaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kepentingan masyarakat mengenali akar sejarah dan asas jati diri perlu seiring kepesatan pembangunan serta kemajuan teknologi.

Baginda turut menyentuh persoalan mengenai kerelevanan pusaka lama seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Keris Taming Sari dalam kehidupan masyarakat masa kini, seiring perubahan dunia yang pesat.

“Apakah tempatnya dalam kehidupan generasi yang membesar bersama teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan sains?

“Beta berpandangan, semakin pantas sesebuah masyarakat melangkah ke hadapan, semakin penting masyarakat mengenali akar sejarah dan asas jati diri.

“Kedua-dua pusaka kebesaran diraja ini menghubungkan generasi hari ini dengan kesinambungan sejarah negeri. Kehadirannya dalam istiadat mengingatkan kita bahawa institusi beraja mewarisi amanah yang perlu disempurnakan mengikut keperluan zaman,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-70 Sultan Nazrin di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.

Pada masa sama, Sultan Nazrin mengingatkan kepentingan adat dan warisan diraja yang perlu dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti negara bangsa dalam mendepani arus pemodenan.

“Adat akan kehilangan jiwa jika sekadar dilaksanakan sebagai perayaan. Pusaka pula kehilangan makna jika hanya dikagumi sebagai ornamen hiasan.

“Sebaliknya warisan adat dan pusaka akan terus segar bernafas, apabila nilai yang dikandunginya diberikan erti, difahami, dihargai, dihayati, lalu diterapkan dalam urusan pemerintahan dan kehidupan rakyat,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa istiadat berkenaan melambangkan kesinambungan adat dan budaya dalam mempertahankan kedaulatan institusi Raja, sekali gus mencerminkan kelangsungan sistem pemerintahan beraja yang telah lama berakar di negara ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin berkenan meriahkan majlis sambutan Deepavali peringkat negeri Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI