KUALA KANGSAR – Kerajaan Negeri Perak dijangka sekali lagi berupaya menukar unjuran defisit RM95.5 juta kepada lebihan kewangan apabila berjaya melakar pencapaian surplus lima tahun berturut-turut.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini susulan kedudukan kewangan negeri yang bertambah baik dengan kutipan hasil negeri telah mencecah RM1.1 bilion, sekali gus berada pada haluan yang betul untuk mencapai sasaran RM1.48 bilion.
“Sesungguhnya, patik menginsafi hakikat bahawa khazanah negeri bukan untuk dimegahkan, tetapi untuk dipelihara; bukan untuk diboroskan, tetapi untuk dimanfaatkan; demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negeri yang berpanjangan,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70 di Istana Iskandariah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saarani menyatakan bahawa di bawah pemerintahan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, kerajaan negeri terus berpegang teguh pada matlamat dan hala tuju pentadbiran dengan menjadikan Pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai panduan utama dalam usaha memperluas peluang ekonomi, mengekalkan kemakmuran negeri serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan.
Katanya, pada tahun 2023, ekonomi negeri tumbuh 2.8 peratus dengan nilai RM82.7 bilion, pertumbuhan itu meningkat kepada 4.8 peratus pada tahun 2024, sebelum melonjak kepada 5.7 peratus pada tahun lalu, dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM91.5 bilion.
“Sektor pembuatan kembali bangkit sebagai nadi perindustrian negeri, dengan pertumbuhan 15.2 peratus pada tahun 2025, melonjak tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya,“ ujarnya.
Saarani berkata, pada Belanjawan 2027 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tujuh daripada 10 cadangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) telah diluluskan.
“Antara yang mendapat perhatian termasuklah kompleks pendidikan di Sitiawan, kemudahan pembedahan kardiotorasik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, rancangan tebatan banjir Sungai Sepetang, pembinaan sekolah di Ipoh dan Chemor, Pusat Santuari Gajah Perak serta Balai Bomba dan Penyelamat Proton City.
“Setiap satunya membawa erti yang tersendiri; yang menuntut ilmu beroleh kemudahan, yang ditimpa uzur mendapat rawatan, yang diancam bencana beroleh perlindungan, sedang keselamatan rakyat terus dipelihara sebagai amanah pemerintahan,“ katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin ingatkan kemajuan perlu pedoman agar tidak melunturkan nilai kemanusiaan


