Dua maut, seorang cedera kereta bertembung lori muatan ayam di JRTB

GERIK – Dua individu maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kereta dan sebuah lori membawa muatan ayam bertembung di Kilometer 49 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, dua mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu kereta Normalizah Abd Manap, 36, dan penumpang, Razali Shakri, 45, manakala seorang lagi penumpang wanita yang turut menaiki kereta sama mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.52 tengah malam.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik tiba di lokasi pada jam 1.55 pagi, dengan jarak perjalanan kira-kira 60 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic dengan sebuah lori jenis Isuzu dan anggota menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas menyelamat serta pengusung.

“Seorang pemandu lelaki dan penumpang wanita yang menaiki Honda Civic maut manakala seorang lagi penumpang wanita cedera.

“Bagaimanapun, pemandu dan kelindan lori terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliay berkata, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital menggunakan ambulans, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 2.35 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.40 pagi,“ ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abd Manap berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berpunca daripada kereta Honda Civic yang hilang kawalan selepas melalui selekoh ke kiri lalu memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan lori yang sedang bergerak dilaluannya.

Katanya, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia telah dibawa Ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk tujuan bedah siasat yang dijadualkan jam 10 pagi ini.

“Berikutan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seorang maut, 4 parah tayar van polis pecah, terbabas di PLUS

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI