TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul sebagai universiti pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan MS ISO 21101:2014 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Kembara Pelancongan (ATSMS) menerusi Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA), Pusat Kokurikulum UPSI.
Kejayaan itu turut menyaksikan UPSI Adventure Park (UAP) menjadi taman pengembaraan pertama di negara ini menerima pensijilan berkenaan serta mengiktiraf keupayaan universiti itu dalam pengurusan keselamatan aktiviti pengembaraan dan rekreasi.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Md Amin Md Taff berkata, pengiktirafan itu diperoleh selepas universiti berkenaan menjalani proses audit menyeluruh merangkumi pengurusan keselamatan, penilaian risiko, kompetensi petugas, prosedur operasi standard (SOP) serta kesiapsiagaan kecemasan.
“UPSI sentiasa komited untuk menjadi peneraju dalam bidang pendidikan serta menjadi ‘role model’ kepada industri rekreasi dan pendidikan luar di Malaysia.
“Kejayaan memperoleh pensijilan MS ISO 21101:2014 ini membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi juga mampu menetapkan penanda aras terbaik dalam pengurusan keselamatan aktiviti pengembaraan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yasim berkata, pensijilan itu memperkukuh peranan AURORA sebagai pusat latihan, pembangunan kompetensi dan pengurusan keselamatan aktiviti pengembaraan.
Menurutnya, piawaian berkenaan menekankan pengurusan keselamatan secara sistematik, termasuk mengenal pasti bahaya, menilai risiko, melaksanakan kawalan serta memantau operasi secara berterusan.
“Pensijilan ini bukan bermaksud aktiviti pengembaraan bebas sepenuhnya daripada risiko, tetapi membuktikan bahawa UPSI mempunyai sistem pengurusan yang tersusun untuk mengenal pasti, menilai dan mengawal risiko secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, UPSI turut berhasrat menjadikan pengiktirafan itu sebagai platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik kepada universiti, agensi kerajaan serta penggiat industri rekreasi dan pendidikan luar.
“Melalui AURORA dan UPSI Adventure Park, kita berhasrat menjadikan pencapaian ini sebagai platform pemindahan ilmu, pembangunan kompetensi tenaga pengajar serta perkongsian amalan terbaik kepada universiti, agensi kerajaan dan penggiat industri rekreasi serta pendidikan luar,” jelas beliau.
Tambahnya, kejayaan itu turut membuka ruang kepada kerjasama strategik dalam bidang latihan profesional, penyelidikan, pensijilan kompetensi dan pemerkasaan budaya keselamatan industri pengembaraan negara.
Pengiktirafan berkenaan juga berpotensi menjadikan UPSI sebagai pusat rujukan nasional dalam pengurusan keselamatan pelancongan pengembaraan dan pendidikan luar berasaskan piawaian MS ISO 21101:2014. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UPSI guna sepenuhnya MyQ ISO, jimat 600 rim kertas dalam audit SIRIM


