KUALA LUMPUR – Sebanyak 65 peratus murid berusia 15 tahun di Malaysia yang menyertai Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 belum mencapai tahap penguasaan minimum Matematik, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan program intervensi di sekolah.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, kerajaan perlu menerbitkan data kemajuan pembelajaran yang boleh diaudit bagi menunjukkan sama ada langkah pemulihan benar-benar meningkatkan penguasaan murid.
“Yang mesti dibuktikan ialah sama ada murid benar-benar semakin boleh membaca, memahami, mengira dan menaakul.
“Keputusan PISA 2025 menunjukkan hanya 35 peratus murid Malaysia yang mengambil bahagian mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 bagi Matematik, berbanding 44 peratus bagi Bacaan dan 54 peratus bagi Sains.
“Skor Matematik pula turun 11 mata kepada 397 berbanding 2022, manakala perubahan skor Bacaan dan Sains tidak signifikan secara statistik. PISA 2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas laporan OECD Economic Surveys: Malaysia 2026 yang diterbitkan pada Julai lalu, Anuar berkata purata tempoh persekolahan pekerja di negara ini meningkat daripada 5.8 tahun pada 1970 kepada 10.4 tahun pada 2024.
“Peningkatan akses kepada pendidikan belum disusuli kemajuan pembelajaran yang setara.
“Jurang pembelajaran perlu ditangani sejak prasekolah. Laporan itu merekodkan perbelanjaan kerajaan bagi setiap murid prasekolah bersamaan 4.4 peratus daripada pendapatan per kapita Malaysia iaitu kira-kira satu per lima purata OECD mengikut ukuran yang sama,” ujarnya.
Anuar turut menekankan keperluan mengurangkan beban pentadbiran guru dan memberi sekolah lebih ruang membuat keputusan mengikut keperluan setempat dengan pertanggungjawaban yang jelas.
“Peruntukan pendidikan perlu disalurkan kepada sekolah yang paling memerlukan dan program yang terbukti membantu murid.
“Dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kerajaan perlu menilai berapa ramai graduan mendapat pekerjaan yang sepadan dengan latihan serta berapa gaji yang diterima.
“Lihat kepada kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan graduan pendidikan tertiari, yang direkodkan pada 35.6 peratus pada 2025,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, bagi memantau sasaran pendidikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hingga 2030, Anuar mencadangkan kerajaan menerbitkan papan pemuka yang memaparkan tahap literasi dan numerasi murid mengikut kohort, kemajuan sekolah berprestasi rendah, jurang sosioekonomi serta masa sebenar guru mengajar.
“Setiap petunjuk perlu disertakan ukuran permulaan, tarikh sasaran dan pihak yang bertanggungjawab.
“Jika sasaran tidak dicapai, kerajaan perlu menjelaskan tindakan pembetulan yang akan diambil,” katanya. – Malaysiaazette


