Guru perlu kreatif, selangkah ke hadapan kuasai kemahiran digital -Saarani

LENGGONG – Guru perlu sentiasa selangkah ke hadapan dalam penguasaan teknologi digital dan lebih kreatif mendekati pelajar bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus perkembangan pendidikan masa kini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan teknologi digital yang berlaku dengan pantas menuntut golongan pendidik untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar tidak ketinggalan berbanding pelajar.

“Guru-guru hendaklah selangkah ke hadapan dalam bidang digital. Maaflah, teknologi digital ini berkembang setiap saat jadi semua guru termasuk yang masih muda perlu melibatkan diri dalam bidang digital.

“Jangan beri peluang kepada pelajar mendahului kita kerana nanti mereka pula mengajar kita dan terbalik pula kerana mereka jadi guru dan kita menjadi murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Guru dan Bilik Digital Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad sempena Program Sekolah Angkat MADANI di sekolah berkenaan di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan.

Saarani berkata, kemahiran digital bukan sahaja penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran malah menjadi keperluan dalam pelbagai bidang termasuk pemasaran dan perniagaan yang kini semakin berasaskan teknologi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Perasmian Bilik Guru dan Bilik Digital Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad sempena Program Sekolah Angkat MADANI di sekolah berkenaan di Lengggong pada Jumaat. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 NOVEMBER 2026.

Beliau berkata, tanggungjawab seorang pendidik tidak terhenti selepas selesai mengajar di dalam kelas sebaliknya turut merangkumi usaha memastikan setiap pelajar memahami pelajaran dan tidak terus tercicir apabila berdepan kesukaran.

Jelasnya, setiap pelajar mempunyai tahap keupayaan dan penerimaan pembelajaran berbeza justeru guru perlu mendekati mereka dengan penuh kesabaran serta menggunakan pendekatan bersesuaian.

“Cikgu-cikgu yang dilatih dalam bidang pedagogi, psikologi pendidikan, sosiologi pendidikan dan falsafah pendidikan memahami bahawa pelajar kita tidak semuanya sama.

“Ada yang cepat, ada yang lambat, tetapi cikgu-cikgu mestilah dapat mendekati mereka dengan penuh kesabaran,” katanya.

Sehubungan itu, Saarani berharap kemudahan bilik digital yang disumbangkan MRCB kepada SMK Dato’ Ahmad menerusi Program Sekolah Angkat MADANI dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga sekolah terutamanya dalam memperkukuh penguasaan teknologi dan meningkatkan kualiti pembelajaran.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan turut menzahirka penghargaan kepada MRCB atas sumbangan yang disifatkan amat bermakna khususnya kepada sekolah di kawasan luar bandar.

“Sumbangan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada guru dan pelajar malah berpotensi dimanfaatkan masyarakat setempat dan ini membuktikan usaha memperkasa pendidikan menerusi teknologi digital perlu dinikmati semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi termasuk sekolah di luar bandar,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI